12 September 2007

Kisah Babi, Perpaduan Melayu & 50 Tahun Kemerdekaan Negara

video


Saya terpanggil untuk memberikan pendapat berhubung dengan masalah yang melanda penduduk terutama kepada masyarakat Melayu di sebuah perkampungan di Melaka baru-baru ini. Seperti yang di uar-uarkan di dada-dada akhbar bahawa masalah bau dan pencemaran yang dialami oleh penduduk ini akibat dari ladang babi yang berhampiran yang dihadapi semejak 50 tahun yang lepas tanpa diambil perhatian, tindakan mahupun penyelesaian dari pihak-pihak yang terbabit, bertanggungjawab menanganinya.

Dan, baru-baru ini kita difahamkan bahawa kerajaan telah mengambil suatu tindakan yang mana kita sendiri telah lihat tindakan yang nampak tegas dari segi undang-undang dan peralatan namun pada akhirnya tidak juga berjaya dilaksanakan.

Kenapa boleh jadi sebegitu? Pada fikiran saya, kita sebenarnya tidak peka dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan bangsa sendiri samada dari segi kebajikan, agama, perpaduan bangsa, kemajuan, keselesaan hidup bersama, masa depan bangsa serta perkara-perkara lain yang bersangkutan.

Ini adalah kerana kita sibuk untuk bergaduh sesama sendiri. Mengumpulkan kekayaan peribadi samada secara sah mahupun tidak sah, mudah, secara haram, tidak peduli haram atau tidak atau sebagainya. Oleh itu kepada pihak-pihak yang sepatutnya dipertanggungjawabkan mengawasi keadaan-keadaan sebegini akan membenarkan sahaja ia berlaku depan mata, tiada inisiatif untuk menyelesaikannya memandangkan ianya tidak berlaku kepada batang hidung sendiri.

Penganiayaan secara sedar ini sebenarnya telah banyak berlaku tetapi kita gagal untuk berbuat sesuatu. Kita melihatnya tetapi kita tidak melihat dengan mata kita, kita mendengarnya tetapi kita tidak mendengar dengan telinga kita. Kita mengetahuinya tetapi hati kita tidak mengujakan kita untuk memahaminya.

Kita sebenarnya leka. Di leka dengan segala hiburan dan pesta dunia samada sedar atau tidak. Secara halus ia menyusup ke jiwa dan minda kita. Minda dan pandangan kita telah diadaptasikan dengan pandangan-pandangan liar yang pada kita kini ada logik dan kebenarannya.

Kita tidak perlu menyalahkan pihak lain selain pada diri sendiri sahaja. Bukan bangsa lain yang melingkupkan bangsa kita Melayu tetapi kita lah yang sebenarnya memusnahkan segala impian dan harapan, perpaduan serta muafakat bangsa, kekayaan dan keharmonian.

Kita sebenarnya suatu bangsa yang kuat malah lebih kuat dengan adanya landasan Hadis dan Al-Quran tetapi kita telah dilemahkan secara halus, secara teratur yang bukan sedikit hari dan tahun untuk menjayakannya. Strategi dan perancangan ini melibatkan generasi sepanjang zaman. Tetapi kita tidak sedar juga.

Oleh hal yang demikian, peristiwa yang berlaku di Melaka dan baru-baru ini peristiwa membakar bendera Malaysia adalah kesan dari jajahan minda oleh unsur-unsur luar yang senantiasa mencari peluang untuk melemahkan umat Islam dan Melayu amnya.

Kita tidak akan dapat melawan semua ini tanpa adanya muhasabah diri. Dugaan kita di dunia ini sebagai umat Islam amat besar. Dan setiap perubahan dan muhasabah diri perlu santiasa dan mengambil masa dari setiap generasi ke generasi kita yang seterusnya.

Saya memohon kepada Allah S.W.T, agar dapat melihat kejayaan kepada agama Islam, umat Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia tercinta yang bebas dari penjajahan minda dan fizikal. Jika masanya telah tiba, biarlah kepergian ini disaksikan oleh isteri dan anak-anak yang telah mampu berdikari mempertahankan diri, kawan-kawan yang setia, jiran-jiran yang berhati mulia, binatang peliharaan yang mendoakan kita serta seluruh alam yang sujud menghormati khalifah Allah di mukabumi. Insyaallah

khairulnazri.blogspot.com
(c) 2007


2 comments:

alahai said...

siapa unsur luar tu?Sedar atau tidak kita sendiri yang menjadi dalang kepada unsur luar yg saudara maksudkan.kita sendiri mendidik anak bangsa dengan perkara-perkara yang melekakan.Sebelum ambil mudah menyalahkan unsur luar renungkan apa yang telah kita lakukan dan rosakan demi kepentingan populariti kita

Khairul Nazri said...

Kepada saudara alahai (kalau sudi perkenalkan diri). Mungkin pada saudara pendapat yang saya utarakan ini nampak menyalahkan kepada unsur-unsur luar. tetapi pada fikiran saya setiap tindakan kita sebenarnya banyak dipengaruhi oleh keadaan persekitaran, budaya hidup, pergaulan dan sebagainya. Dan unsur-unsur ini pada fikiran saya adalah unsur-unsur luar selain dari unsur yang terdapat dalam diri kita.

Oleh hal yang demikian, hanya melalui pertimbangan serta fikiran yang dipenuhi dengan unsur-unsur sihat sudah semestinya dapat melahirkan anak bangsa yang berguna dan kuat dan begitulah sebaliknya.