22 September 2007

Tragedi Nurin

Pada 17 September 2007, kita telah dikejutkan dengan penemuan satu mayat kanak-kanak yang dimasukkan kedalam sebuah beg sukan. Setelah disiasat, pihak polis telah mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah kanak-kanak malang yang telah dilaporkan hilang pada 20 Ogos 2007 yang lalu.

Kematian Nurin Jazlin Jazimin amat menyayat hati setiap lapisan masyarakat Malaysia. Marah dan geram adalah antara kata-kata yang terpacul dari setiap naluri rakyat Malaysia apabila kanak-kanak yang tidak berdosa ini diperlakukan di dalam keadaan yang menyedihkan.

Apa yang harus kita lakukan dalam menghadapi dugaan ini adalah bersabar dan mengakui akan kebesaran Allah S.W.T bahawa setiap manusia apabila sudah tiba masanya untuk kembali kepada tuhan maka kepergian kita nanti adalah di datangi dengan pelbagai bentuk dan rupa mengikut amalan kita di dunia yang sementara ini. Dan, setiap musibah yang berlaku samada kepada diri kita mahupun kepada keluarga dan masyarakat adalah salah satu petunjuk dan rahmat dari Allah S.W.T. kepada hamba-hambanya yang soleh dan disayangi. Insyaallah.

- khairulnazri.blogspot.com
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Pemergian Nurin ditangisi

Pilu, marah dan geram mengiringi pemergian Nurin Jazlin, yang mayatnya dituntut keluarga selepas mereka menerima hakikat sekujur tubuh budak perempuan yang ditemui dalam beg sukan di Petaling Jaya Isnin lalu, adalah anak mereka.

Suasana pilu dan syahdu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam apabila bapanya, Jazimin Abd Jalil, 33, akhirnya mengalah kepada suratan takdir bahawa itulah 'Kak Ngah', anak kesayangan yang kepulangannya dinanti-nantikan mereka sekeluarga sejak sebulan lalu. Rasa marah dan geram turut terdetik di hati setiap orang yang mengikuti kes ini kerana perbuatan manusia berhati binatang terhadap kanak-kanak tidak berdosa itu.

Bagi Norazian Bistaman, 35, tiada perkataan yang mampu diucapkan selain kucupan kerinduan dan linangan air mata ketika melihat jenazah anak keduanya dikafankan, didukung dan diturunkan ke liang lahad Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Danau Kota, Wangsa Maju, selepas solat Jumaat jam 2.20 petang semalam,

Sebelum itu, pada jam 10 pagi, Jazimin yang sebelum ini berkeras mayat yang ditemui bukan anaknya terbuka hati dan menuntut jenazah Nurin Jazlin di bilik mayat HKL, diiringi tangisan ahli keluarga, kakitangan hospital dan orang ramai, tanpa mengira kaum, umur dan keturunan.

Jenazah Allahyarham, yang siap dimandi dan dikafan, dibawa keluar dengan sebuah van jenazah dari HKL jam 11.20 pagi ke Madrasah Assa'Adah, Seksyen 1, Wangsa Maju, di mana Norazian serta ahli keluarga lain menunggu kepulangan puteri mereka yang tidak lagi bernyawa. Norazian yang tidak dapat menahan perasaan dan menangis teresak-esak, terpaksa dipimpin ahli keluarga untuk mendekati jenazah anaknya dan terus mengucup dahinya buat kali terakhir.

Perasaan sedih turut menyelubungi kira-kira 500 orang yang sejak awal membanjiri kawasan madrasah itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Nurin Jazlin sebelum jenazahnya disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, diiringi ratusan kenalan, keluarga dan orang ramai yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa kanak-kanak itu.

Jazimin yang ditemui sejurus selepas pengebumian selesai berkata, beliau reda dengan ketentuan Allah yang menguji keluarganya dengan ujian berat pada bulan Ramadan ini.

"Apabila melihat jenazahnya selepas dimandi dan dikafankan, saya sedar itu anak saya. Ada banyak perbezaan berbanding sebelum ini (kelmarin) ketika saya dipanggil membuat pengecaman oleh polis. Saya terima hakikat pemergiannya walaupun hati saya hiba dan sedih. Tuhan lebih sayangkannya," katanya.

Penerimaan Jazimin dan keluarga ke atas keputusan DNA mengenai siapa kanak-kanak yang ditemui bogel, kemaluannya ditusuk dengan terung dan timun serta kakinya dilipat sebelum mayatnya disumbat ke dalam beg itu, juga mengakhiri pencarian Nurin Nazrin, yang hilang ketika dalam perjalanan ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju di sini, pada 20 Ogos lalu.

Bapa saudara Nurin Jazlin, Johari Abd Jalil, berkata Jazimin akur dengan keputusan ujian DNA selepas berbincang dengan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, malam kelmarin.

"Wajah Nurin Jazlin mula terserlah selepas dimandi dan dikafankan menyebabkan semua ahli keluarga menerima kenyataan bahawa kanak-kanak itu adalah Nurin. Kami hanya dapat menitiskan air mata untuknya.

Walaupun terdapat banyak kesan lebam di muka dan badan akibat diseksa tetapi wajahnya sangat tenang," katanya.

Datuknya, Abdul Jalil Yahya, 74, pula berkata, beliau yang rapat dengan Nurin Jazlin pasti mayat berkenaan adalah cucunya.

"Walaupun tadi (semalam) adalah kali pertama saya melihat mayat itu, saya yakin dia adalah Nurin berdasarkan bentuk dan iras wajahnya. Saya sangat sedih melihat kecederaan pada muka Nurin. Saya melihat jenazah Nurin sekejap saja kerana tidak sampai hati melihat keadaannya," katanya.

Pembunuh itu binatang

Jazimin Abdul Jalil yang akhirnya pasrah menerima hakikat kematian anak kesayangannya yang mati dalam keadaan tragis mahu pihak berkuasa segera memberkas pembunuh Nurin Jazlin dan mengenakan hukuman seberat-beratnya.

‘‘Saya reda dengan pemergian anak saya ini namun begitu saya mahu pihak berkuasa terus memburu pembunuh Nurin.

‘‘Pembunuh ini bersifat binatang, tidak berperikemanusiaan,’’ katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui di Madrasah Assa’Adah Seksyen 1, Wangsa Maju di sini hari ini.

Jenazah anaknya, Nurin Jazlin, 8, yang menjadi mangsa deraan seksual dibawa ke madrasah itu selepas dibawa dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Gombak.

Jazimin berharap polis bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai akan terus bekerjasama sehingga tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin.

Sementara itu, bapa saudara Nurin Jazlin, Syed Ja’afar Ahmad berkata, dia sungguh sedih atas kematian anak saudaranya itu dan berharap pembunuhnya akan dijatuhkan hukuman berat.

‘‘Kerajaan perlu berbuat sesuatu. Kalau boleh, pinda undang-undang bagi membolehkan hukuman berat seperti pancung kepala dilaksanakan,’’ katanya.

Seorang lagi bapa saudaranya, Ahmad Taim Bistaman, 45, menyifatkan pembunuh Nurin Jazlin sebagai seorang yang tidak berhati perut.

‘‘Bagaimana orang ini sanggup menyumbat Nurin di dalam sebuah beg pakaian. Ini sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan,’’ ujarnya yang baru sampai dari Selama, Perak.

Jihadi Abdul Jalil yang juga bapa saudara Nurin Jazlin berkata, abangnya Jazimin duduk bersendirian di dalam bilik di rumahnya malam tadi memikirkan mengenai anaknya.

‘‘Abang duduk secara bersendirian dalam bilik memikirkan perkara ini sebelum membuat keputusan untuk menuntut mayat Nurin Jazlin di HKL pagi tadi.

‘‘Saya tidak menyangka Nurin akan dibunuh dengan kejam. Saya juga seperti yang lain berharap hukuman berat akan dikenakan ke atas pembunuh,’’ ujarnya.


"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di tempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin"


khairulnazri.blogspot.com

(c) 2007 All Rights Reserved





No comments:

Cars & Formula 1