20 June 2008

Bila fenomena makan bola, tidur bola, mandi bola melanda

BUKAN bertujuan menakut-nakutkan, artikel ini hanya sekadar ingin memberi maklumat mengenai perkara yang berkaitan dengan sukan nombor satu dunia, bola sepak. Kebetulan dalam keadaan demam bola sepak melanda seluruh dunia sejak Euro 2008 berlangsung minggu lalu.

Pastinya ramai peminat bola sepak tidak mahu ketinggalan menyaksikan perlawanan-perlawanan menarik dan ingin mengetahui siapa yang layak bergelar juara kali ini selepas Greek berjaya merangkulnya empat tahun lalu.

Menyimpang dari bercerita tentang perkembangan temasya berprestij itu, Kesihatan kali ini mengungkap dua perkara yang kadangkala berlaku di kalangan pemain bola sepak di tengah padang iaitu kecederaan dan juga kematian mengejut.

Kecederaan ketika bermain bola sepak adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak profesional mahu pun amatur. Namun risikonya lebih tinggi terhadap mereka yang agak jarang atau hanya sesekali bermain bola sepak.

Kematian mengejut di padang pula merupakan keadaan yang jarang berlaku namun telah mencatatkan beberapa kes termasuk antara yang terbaru, pemain kelab Seville dari Sepanyol, Antonio Puerta, 22, yang meninggal dunia secara mengejut ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan Liga Sepanyol menentang kelab Getafe tahun lalu. Tentulah memeranjatkan apabila seorang atlet profesional yang masih muda dan tidak mempunyai sejarah berpenyakit menghembuskan nafas hanya kerana bersukan.

Bukan hanya menyerang pemain yang sedang beraksi di padang, serangan jantung mengejut juga boleh menyerang penonton bola sepak sama ada di kaca televisyen mahu pun di stadium.

Tentu kita masih ingat peristiwa seorang pemuda berusia dalam lingkungan 20-an yang jatuh rebah selepas menyaksikan satu perlawanan bola sepak ketika musim demam Piala Dunia tidak sampai dua tahun lalu.

Untuk mengupas isu minggu ini Kesihatan mendapatkan pandangan daripada dua doktor pakar dari Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) Jalan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Cedera di padang bola

Pakar Ortopedik, Bedah Arthroskopi dan Cedera Sukan, Kol (B) Dr. Azmi Abd. Latif berkata, kecederaan ketika perlawanan bola sepak biasanya melibatkan bahagian buku lali, lutut, bahu dan tulang belakang.

“Ia bergantung kepada berapa agresif seseorang itu bermain, jika ia terlalu memaksa terutama ketika keletihan boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Namun katanya, kecederaan seperti ini sebenarnya boleh dielakkan dengan mengambil beberapa langkah. Antaranya, memastikan tahap kesihatan tubuh sebelum turun ke padang dan mengambil langkah perlindungan yang sewajarnya. Misalnya dengan memakai guard. “Sebelum bermain, lakukan juga pemanasan badan dan regangan. Pastikan diri kita tidak mengalami sebarang kecederaan atau penyakit serius. Akhir sekali, bermainlah mengikut kemampuan dan stamina sendiri serta jangan terlalu memaksa,” kata beliau.

i) Cedera bahagian buku lali

Menurut Dr. Azmi, kecederaan buku lali (footballer ankle) merupakan kecederaan paling kerap berlaku kepada pemain ketika di padang.

Jelasnya, ia berlaku bila wujud satu bahagian tajam (kapsul) di sudut tertentu apabila tekanan diberikan kepada tulang tersebut. Seterusnya menyebabkan tisu menjadi bengkak dan sakit, lalu pesakit mudah terpelecok ketika berjalan atau berlari.

Selain itu, boleh juga berlaku di mana ligamen antara buku lali terkoyak atau terkepit di bahagian depan. Ini menyukarkan pesakit untuk berlari.

“Ia biasanya disebabkan tekanan pada sendi terutama ketika menggelecek dan ini selalu berlaku kepada pemain tengah,” jelasnya.

Satu lagi keadaan yang menyebabkan kecederaan di bahagian buku lali berlaku di mana serpihan ligamen terkoyak atau tersepit di celah sendi.

Bila ini terjadi kata Dr. Azmi, rawatan yang dilakukan adalah dengan membersihkan bahagian yang berkenaan dan diperkemas melalui pembedahan arthroskopi sendi.

Katanya lagi, kecederaan pada bahagian ini mudah dirawat, di mana proses penyembuhan mengambil masa lebih kurang dua minggu. Selepas itu bekas pesakit tadi boleh bermain seperti biasa.

Menjawab pertanyaan sama ada kecederaan jenis ini akan berulang, katanya, amat tipis melainkan berlaku ligamen terkoyak dan longgar menyebabkan ia perlu diperbaiki (reconstruct).

Bekas pesakit katanya, boleh kembali bersukan seperti biasa, namun memerlukan sokongan atau pun perlindungan dengan memakai guard.

ii) Cedera bahagian lutut

Dr. Azmi berkata, yang paling biasanya berlaku adalah koyak ligamen cruciate. Ia boleh berlaku apabila pemain jatuh dengan kaki terlipat.

“Biasanya ia bukan disebabkan perlanggaran tetapi pemain terjatuh sendiri seperti terpelecok,” kata Dr. Azmi.

Jelas beliau lagi bunyi seperti ‘prak’ boleh didengari dengan jelas daripada pemain yang mengalami keadaan ini. Kesan daripada itu, menyebabkan lutut pemain membengkak serta merta dan dia tidak boleh meneruskan perlawanan.

Katanya, pesakit juga mengalami masalah menuruni anak tangga atau bukit dan tidak boleh jalan laju kerana rasa seperti lutut ‘tertinggal.’

“Keadaan ini berlaku kerana satu kaki yang mengalami kecederaan tidak berkuasa menongkat atau menampung badan. Namun, ia tetap boleh digerakkan dan melakukan gerakan lain seperti menendang.

Menurut beliau, kecederaan lutut perlu menjalani rawatan mekanikal yang memerlukan pembedahan arthroskopi ligamen reconstruction bagi menggantikan urat untuk menstabilkannya.

Urat daripada bahagian lutut pesakit yang masih baik digunakan atau pun menggunakan urat daripada perkhidmatan derma organ.

“Pesakit mengambil masa selama enam hingga 12 bulan untuk sembuh. Selepas sembuh, mereka mungkin mengalami masalah sampingan seperti tidak berani melompat, atau melangkah longkang yang agak besar secara automatik,” jelasnya.

Selain itu kata Dr. Azmi, kecederaan lain di bahagian lutut adalah maniskus di mana ia berlaku antara dua tulang.

“Bila ligamen terkoyak, ia menyebabkan lutut melekat dan tidak boleh digerakkan serta berasa sakit,” katanya.

Kecederaan jenis ini memerlukan pemeriksaan klinikal dan pengimejan resonan magnetik (MRI). Ia boleh dirawat juga dengan kaedah perbaiki dan perkemas bahagian yang berkenaan.

iii) Cedera bahagian bahu

“Biasanya ia berlaku kepada penjaga gol terutama ketika menangkap bola,” kata Dr. Azmi.

Ia juga boleh terjadi kepada pemain yang berlanggar sesama sendiri lalu jatuh bertongkatkan tangan.

Keadaan ini jelas beliau berlaku apabila urat di bahu terkoyak atau terkepit. Biasanya pemain tidak berasa sakit ketika kejadian namun ia perlahan-lahan terasa selepas dua atau tiga hari.

Apabila urat di bahagian ini terkoyak, pesakit tidak boleh mengangkat atau menongkat tangan. Jika tersepit pula, mereka tidak akan merasa sakit ketika bermain namun merasainya ketika berehat.

“Pesakit akan merasa lenguh bahu, kebas tangan dan kadang-kadang rasa sakit dari bahagian siku hingga pergelangan tangan, dada, tulang belikat dan tulang belakang.

“Sebenarnya apabila urat terkepit di bahu, otot akan menjadi lemah manakala kedudukan bahu akan jatuh ke bawah dan ke depan sedikit,” jelasnya.

iv) Cedera bahagian tulang belakang

Kecederaan bahagian ini berlaku apabila pemain jatuh terduduk menyebabkan hentakan kuat (hyperflexion).

“Ini menyebabkan disk pecah lalu menekan tulang menjadikan salah satu daripadanya patah. Bila ia menekan saraf, keadaan slip disk akan berlaku,” katanya.

Disebabkan saraf yang terdapat di bahagian tulang belakang ialah saraf ke bahagian kaki, pesakit akan berasa lenguh dan sakit di bahagian salah satu kaki.

Seandainya pecahan yang terjadi agak besar, lama-kelamaan ia menyebabkan simptom spinal stenosis.

“Ia menyebabkan tisu di bahagian tulang belakang menebal dan menekan saraf. Apabila ini berlaku, pesakit akan merasa sakit setiap kali berada dalam satu posisi untuk tempoh yang lama.

“Bila dia mengubah posisi baru akan berasa lega,” jelasnya. Pesakit yang mengalami masalah ini perlu menjalani pembedahan untuk memastikan saraf tidak terhimpit.

Sekiranya pecahan disk terlalu kecil, pesakit hanya perlu mengambil ubat tahan sakit dan menjalani rawatan fisioterapi.

Mati mengejut di padang

Pakar Kardiologi, Dr. Azar Azman Abu Bakar berkata, serangan jantung mengejut boleh berlaku kepada bukan sahaja pemain bola sepak malah sukan yang melibatkan impak tinggi seperti ragbi, badminton dan tenis.

“Biasanya ia berlaku kepada aktiviti yang memerlukan pecutan kemudian berhenti secara mengejut,” katanya.

Kata beliau lagi, statistik menunjukkan serangan jantung kerap berlaku kepada pemain terutama ketika musim perlawanan.

Punca-puncanya:

1) Hipertropik Kardiomiopati – Penebalan otot jantung disebabkan oleh kegiatan sukan yang berterusan dan / atau masalah kelainan genetik; risiko masalah rentak jantung ventrikular. Kata Dr. Azar, ia berlaku apabila seseorang itu melakukan sesuatu kegiatan lebih daripada biasa seperti tenaga yang dikerah ketika perlawanan. Masalah ini juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik daripada kecil. Menurut beliau, 26 peratus daripada kematian mengejut berpunca daripada masalah ini berlaku kepada ahli sukan.

2) Komotio Kordis – Berlaku ketika perlanggaran terutama di bahagian dada. Jika dilihat, pemain tidak mengalami kecederaan namun jantungnya telah bergegar. Peratus survival hanya 15 peratus.

3) Ketidaknormalan arteri koronari – Kelainan perjalanan pembuluh darah jantung sejak lahir; risiko mendapat iskemia dan aritmia. Keadaan ini menyebabkan darah tidak cukup lalu pemain boleh rebah.

4) Miokarditis – Radangan otot jantung contohnya disebabkan oleh jangkitan virus; risiko mendapat kegagalan jantung dan aritmia

5) Sindrom Marfan – kelainan genetik di mana terdapat kelemahan pada dinding pembuluh darah aorta dan risiko pecahan dinding tersebut. Biasanya berlaku kepada mereka yang bersusuk tubuh tinggi seperti pemain bola keranjang. Terdapat kes di mana pemain mati mengejut di padang.

6) Kardiomiopati ventrikal kanan arrithmogenik – Kelainan genetik melibatkan masalah rentak jantung ventrikular

7) Arteri koronari rentang – Kelainan otot jantung menyebabkan pembuluh darah koronari terhimpit semasa degupan jantung

8) Stinosis injap aortik – Penyempitan injap jantung aortik disebabkan masalah kongenital (injap bikuspid) atau komplikasi jangkitan rheumatik

9) Penyakit arteri koronari artherosklerotik – Pembunuh perubatan nombor satu di mana terdapat penyempitan / sumbatan pembuluh darah koronari. Kejadian serangan jantung atau rentak jantung (ventrikular artmia) boleh berlaku spontan terutama dalam keadaan stres fizikal atau emosi.

Lazimnya terjadi pada seseorang yang mempunyai risiko seperti sejarah keluarga, merokok dan sebagainya. Kebelakangan ini semakin ramai pesakit yang usia muda (lelaki dan perempuan) mengalami masalah ini disebabkan gaya hidup yang tidak sihat.

10) sindromLong QT – Masalah genetik menyebabkan masalah rentak ventrikular yang tidak normal

11) Arteri serebral pecah – Masalah aneurysm pembuluh darah otak yang tidak diketahui ada yang pecah semasa dalam keadaan stres.

Menurut Dr. Azar, ahli sukan berusia 35 tahun ke atas terdedah kepada risiko serangan jantung lebih tinggi. Namun ia juga bergantung kepada tahap kesihatan seseorang seperti paras kolestrol atau menghidap penyakit jantung koronari.

Kata beliau, bagi negara Itali dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai ujian penyaringan persediaan untuk atlet sebelum terlibat dengan sesuatu perlawanan. Biasanya ia memerlukan ujian ElektroKardioGram (ECG).

“Setelah dipastikan kesihatan berada di tahap sepatutnya, barulah pemain tersebut dibenarkan bermain,” katanya.

Seandainya pemain itu bermasalah di peringkat ujian ECG, mereka perlu pula menjalani ujian selanjutnya iaitu ujian stres.

Selain persediaan pemain, Dr. Azar juga menggalakkan semua orang terutamanya mereka yang berada di padang supaya tahu melakukan bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR).

Katanya, di Malaysia kesedaran tentang pentingnya CPR amat rendah.

“Sebenarnya bantuan CPR boleh meningkat peratus survival mangsa hingga 43 peratus berbanding 22 peratus dengan hanya menunggu mangsa dibawa ke hospital,” ujarnya.

Sebagai tambahan, alat Automated External Defibrillatoraed (AEB) patut dimiliki oleh semua stadium bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang rebah akibat serangan jantung.

“Alat ini mudah dibawa dan digunakan. Sesiapa saja boleh melakukannya. Saya amat berharap agar semua stadium, tempat kunjungan ramai seperti lapangan terbang, kompleks membeli belah dan pejabat korporat di negara ini memiliki AED sebagai kemudahan tambahan,” katanya.

Menurut beliau peratus survival bagi penggunaan AED adalah kurang 25 peratus dalam masa empat hingga lima minit selepas serangan manakala kurang 10 peratus dalam masa lebih 10 minit.

Kesimpulannya kata Dr. Azar, kajian yang dilakukan American Health Association (AHA) menunjukkan ahli sukan mempunyai 2.5 kali ganda risiko serangan sakit jantung berbanding mereka yang tidak bersukan.

“Dua kes dilaporkan berlaku daripada setiap 100,000 pemain,” katanya.


kompilasi

khairulnazri.blogspot.com



No comments: