10 June 2008

Bila Melayu sisihkan Islam!

SUMBANG lagu kerana irama, canggung tari kerana lenggok, pincang karya kerana dialog… Demikian hebat digambarkan azab yang melanda jika salah satu komponen dalam sesebuah unit tidak seiring atau sehaluan. Serba-serbi tak kena!


Hakikat yang sama jika dilihat dari perspektif umat Melayu dan Islam. Kedua-duannya amat sukar dipisahkan.

Perkataan Melayu itu sendiri ditakrifkan menerusi Artikel 160 Perlembagaan Malaysia sebagai seseorang yang beragama Islam, berbangsa Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu serta mengamalkan adat resam Melayu.

Tanpa Islam maka lumpuhlah seluruh benteng yang melindungi bangsa Melayu. Justeru, sebarang usaha untuk menidakkan Islam daripada Melayu umpama menelanjangkan maruah kemelayuan itu sendiri!

Dalam konteks ketuanan dan kedaulatan kepimpinan Melayu yang semakin diganggu-gugat hari ini, maka wajarlah kita bermuhasabah serta menilai kembali intipati kepemimpinan yang didokong oleh khalifah yang diamanahkan untuk mengepalai umat manusia. Khalifah yang dimaksudkan ialah pemimpin.

Allah s.w.t berfirman: “Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi…” Surah Al-Baqarah ayat 30.

Apabila kesucian Islam yang hakiki digarapkan dengan nilai Melayu yang sebenar maka akan lahirlah seorang pemimpin yang berupaya untuk menerajui sebuah negara majmuk dengan adil dan saksama serta mampu merencanakan dasar pembangunan negara.

Penulis begitu gusar dengan kemungkaran yang menyelubungi kepimpinan politik Melayu yang pada dasarnya bisa merobohkan institusi kemanusiaan yang dipelopori oleh bangsa Melayu yang berdaulat!

Masih belum terlambat untuk kita menginsafi kepesongan paksi kepimpinan yang dianggap bercanggah dengan aspek nilai Islam yang seharusnya menjadi tunjang utama sesebuah kepemimpinan.

Allah s.w.t menegaskan melalui firman-Nya: Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barang siapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kemurkaan pada sisi Tuhannya dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka. (Al-Faathir: 39).

Sudah tiba masanya untuk kita kembali mengangkat martabat Islam sebagai peneraju bangsa Melayu.

Dasawarsa ini ketuanan Melayu begitu mudah diperkotak-katikkan. Bangsa Melayu dilihat hanya gah bermain politik dan sering bercakaran sesama sendiri!

Wahai seluruh umat Melayu, bangunlah dan sedarlah dari lena mu! Sesungguhnya nusa Melayu yang dinakhodai oleh ketuanan Melayu pasti jua akan karam jika kita lalai dan alpa.

Hentikan perbalahan yang akhirnya hanya merugikan bangsa Melayu sendiri.

Kita harus sedar bahawa keselesaan serta keistimewaan yang kita perolehi sekarang bukanlah sesuatu yang hakiki dan tidak mustahil Melayu akan kehilangan semua itu jika kita tidak berusaha untuk memperjuangkannnya.

Agenda perjuangan Melayu yang ingin diperjuangkan ialah supaya orang Melayu tidak hanya diberi malah memberi serta dikenali sebagai bangsa yang menguasai ekonomi.

Krisis kegawatan moral dalam kancah politik tempatan juga semacam sukar dibendung.

Kerakusan kuasa, ketamakan harta dan kekayaan, kegilaan kemasyuran telah membutakaan minda yang akhirnya menyebabkan prinsip agama mula dinodai, hak-hak orang lain mula dicabuli dan nilai perikemanusiaan turut diperkosai secara terang-terangan!

Penulis menyangkal sekeras-kerasnya tanggapan kononnya hanya orang politik yang berhak menyelesaikan masalah politik.

Politik milik semua! Ia bukan milik eksklusif sesetengah pihak yang merasakan diri mereka cukup layak untuk begelar ahli politik dan pemimpin.

Pengarah Eksekutif Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Dr Fathi H. Malkawi telah menggariskan beberapa ketetapan yang perlu ada oleh seorang pemimpin.

Menurutnya teras kepimpinan yang wajar didokong oleh seorang pemimpin Islam ialah pemimpin tidak boleh menentang atau berlawan dengan ahli-ahli komuniti masyarakat pimpinannya sendiri atau orang bawahannya serta perlu patuh dan akur dengan ketetapan syariat Islam.

Tegas beliau, tugas dan peranan kepemimpinan itu saling memerlukan antara pemimpin dan ahli serta sebaliknya, mengikut tahap dan peranan masing-masing yang berbaza-beza.

Sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada fitrah yang sejati. Nilai kepimpinan khalifah-khalifah tersohor Islam wajar dijadikan cerminan.

Jika pemimpin bukan Islam hari ini mengagumi kehebatan khalifah Islam hinggakan teras kepimpinan mereka dijadikan tauladan dan contoh, mengapa pemimpin-pemimpin Melayu Islam begitu angkuh untuk menyebak sejarah kepimpinan Islam lampau!

Khalifah Umar Abdul Aziz misalnya sangat terkenal sebagai seorang pemimpin yang berkeperibadian tinggi.

Khalifah ke-6 Bani Umaiyyah itu banyak melakukan perubahan untuk kepentingan rakyat antaranya merampas kembali harta-harta yang disalahgunakan oleh keluarga khalifah terdahulu dan mengembalikannya kepada Baitulmal.

Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya telah menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya.

Beliau mahu semua rakyat dilayan seadilnya tanpa mengira keturunan dan pangkat supaya keadilan dapat berjalan dengan sempurna.

Tempoh pemerintahan Khalifah Umar selama dua tahun lima bulan adalah terlalu pendek untuk menilai kejayaan sesebuah pemerintahan. Namun beliau berjaya membuktikan sebaliknya.

Dalam tempoh itu, tiada pemberontakan berlaku dalam kerajaan Umaiyyah, penyelewengan dapat dibendung, rakyat mendapat layan sama rata dan menjadi kaya raya hingga hinggakan Baitulmal penuh dengan harta zakat kerana tiada siapa yang mahu menerima zakat.

Pandangan kerdil penulis bahawasanya kemelut yang melingkari umat Melayu hari ini boleh dirungkai dengan pemuafakatan sejagat.

Gandingan ulama dan umarak (pemimpin) adalah ramuan asli lagi sempurna untuk mengembalikan nur (cahaya) sesebuah kepimpinan.

Paduan idea ulama dan umarak pasti dapat menghasilkan santapan yang sempurna untuk dihidangkan kepada masyarakat.

Pandangan, kritikan dan nasihat yang dikemukakan oleh golongan ulama terhadap senario politik moden masa kini harus diberikan perhatian yang sewajarnya.

Antara ulama yang lantang bersuara terhadap kekalutan yang menjerut arena politik tempatan ialah Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Tegurannya kepada kepimpinan negara cukup ikhlas untuk melihat perubahan positif dan seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat yang semakin pudar terhadap pemerintah.

“Pasca politik kini adalah ujian untuk kepimpinan negara. Bukan masa untuk menunjukkan ego, atau mencari-cari di mana silap orang lain, tapi melupai dosa-dosa politik yang pernah dilakukan.

Masa ini sepatutnya kepimpinan negara di setiap peringkat menunjukkan tadarru’ iatu benar-benar merendah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya.” tegas beliau menerusi artikel bertajuk ‘Jika pemerintah bertaubat dengan taubat nasuha.’

Mesej yang cuba disampaikan cukup mudah difahami. Setinggi manapun pangkat dan darjat yang dikecapi, kepada Allah s.w.t. juga tempat untuk kita sebagai hambanya yang kerdil untuk menginsafi diri.

Institusi ulama harus dipelihara kesuciannya. Mereka seharusnya dijadikan 'kamus' untuk rujukan semua pihak. Pandangan mereka harus dibuat panduan.

Namun sebaliknya berlaku. Lihat sahaja apabila Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria menentang penganjuran Jom Heboh yang dianggap haram kerana kerana ia boleh melalaikan umat Islam dengan hiburan serta pergaulan bebas.

Katanya ketika orang lain sibuk membincangkan masa depan ekonomi, pendidikan dan kebudayaan masing-masing, umat Islam negara ini pula asyik memikirkan tentang hiburan.

Ramai yang melenting serta tidak senang duduk dengan teguran beliau itu. Kononnya pandangan ahli ulama itu adalah satu pandangan yang tidak berasas.

Namun hingga kini karnival Jom Heboh masih gah berlangsung menemui orang ramai di seluruh negara yang rata-rata pengunjungnya adalah Melayu seolah-olah nasihat Dr Harussani umpama mencurah air ke daun keladi!

Perkara seumpama ini amat sukar untuk ditafsirkan. Malaysia sebagai sebuah negara Islam sendiri seakan menolak idea dan pandangan ahli ulama.

Persoalannya ialah siapa yang menjadi mangsa? Jawapannya cukup mudah...umat Melayu adalah mangsa yang sering dimomokkan dan dipermain-mainkan.

Melayu kian tersepit! Antara ulama dan umarak siapa yang harus didengari?

Janganlah kita membelakangi al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. Sesungguh itulah sumber rujukan dan pedoman yang ditinggalkan untuk seluruh umat Islam sebagai panduan hidup di dunia dan akhirat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Itulah kitab (al-Quran) tidak ada keraguan padanya, sebagai petunjuk kepada orang yang bertakwa." (al-Baqarah, ayat 2)



kompilasi,

khairulnazri.blogspot.com

No comments: