10 June 2008

Minyak: Kerajaan Abdullah umum strategi tambahan kurang beban, kawal inflasi

The Star, 10 Jun 2008

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Membanteras Inflasi Negara petang tadi mengumumkan strategi-strategi tambahan bagi mengatasi kesan inflasi dan mengurangkan beban kos kenaikan minyak - yang mampu menjimatkan RM2 bilion.

Sebahagian besar daripada langkah dalam strategi yang diumumkan hari ini melibatkan penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Strategi dan langkah yang diumumkan Abdullah ialah:

  • Bayaran tunai kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak dipercepatkan mulai Sabtu ini (14 Jun) berbanding tarikh asal 1 Julai 2008
  • Kuota fleetcard lebih tinggi untuk penguasa pengangkutan awam - masih boleh membeli diesel pada harga lama RM1.43 seliter
  • Kuota disel yang boleh dibeli dengan kemudahan fleetcard akan ditambah untuk memastikan tambang bagi pengangkutan awam dikekalkan.
  • Senarai kenderaan yang layak untuk menerima diesel subsidi akan diperluaskan, meliputi bas pekerja dan teksi yang menggunakan petrol.
  • Elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri dikurangkan 10 peratus.
  • Pakej percutian anggota Kabinet setahun sekali dihadkan dalam negeri dan rantau ASEAN manakala tempoh dibenarkan pula hanya seminggu.
  • Pengurangan hotel untuk sebarang majlis kerajaan.
  • Agensi-agensi awam diarah menangguhkan perbelanjaan yang masih dalam perancangan.
  • Pewujudan jawatan baru kecuali jawatan tertentu dan kritikal dibekukan.
  • Sewa ruang pejabat baru atau tambahan, perpindahan pejabat ke bangunan lain atau membuat pengubahsuaian pejabat sedia ada tidak dibenarkan.
  • Pembelian aset termasuk kereta, perabot, komputer dan lain-lain kelengkapan pejabat yang belum komited ditangguhkan.
  • Majlis dan upacara keraian seperti pembukaan pejabat, persidangan atau mesyuarat, penyampaian hadiah, perasmian bengkel atau kursus dihadkan.
  • Menambah baik jaringan sosial - kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menaikkan beberapa elaun dan maklumat terperinci diumumkan dalam masa seminggu.

Perdana Menteri menjelaskan, langkah itu akan menjimatkan wang negara sebanyak RM2 bilion, yang akan disalurkan untuk pembangunan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah.


Kalau kita amati balik senarai strategi yang diumumkan oleh DSAB semalam, jelas strategi tersebut telah dibuat secara tergesa-gesa setelah rakyat melahirkan rasa tidak puas hati, geram, kecewa dengan tindakan menaikkan harga petrol dan diesel secara tiba-tiba.

Pada fikiran saya, tidak nampak apa-apa rancangan kerajaan menangani kemelut minyak ini dengan hanya memotong 10% daripada elaun-elaun menteri untuk menampung kesan-kesan kenaikan harga petrol dan diesel ini. DSAB seharusnya memikirkannya sebelum membuat pengumuman kenaikan tempohari dan dalam pada masa yang sama memikirkan bagaimana untuk menampung kesan kenaikan minyak dunia ini dapat diserap tanpa menaikkan harga di dalam negera.

Jika DSAB mengumumkan kenaikan pada skala yang situasinya menang-menang beserta pelan tindakan bersepadu, besar kemungkinan rakyat tidak akan memberontak seperti kala ini. Malangnya, pendekatan ini tidak berlaku dan saya rasa, jika kaedah perlaksanaan sebegini masih digunapakai, apa jua pelan strategik DSAB di masa-masa hadapan berhubung dengan kemelut-kemelut sebegini, pasti kita semua rakyat Malaysia tidak akan mendapat sebarang manfaat keseluruhannya.

khairulnazri.blogspot.com

No comments:

Cars & Formula 1