20 June 2008

Tazkirah : Institusi masjid perlu reformasi

MASJID sebuah institusi penting masyarakat Islam seharusnya berperanan untuk mendidik dan membangunkan umat Islam. Ia bukan sekadar tempat beribadat atau mendengar kuliah agama tetapi fungsinya lebih meluas lagi.

Menyingkap kembali peranan masjid pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, kita dapati masjid dipergunakan semaksimum mungkin untuk tujuan pembangunan ummah, merancang sosio ekonomi masyarakat Islam, menerapkan semangat perpaduan dan mengatasi kepincangan sosial disamping fungsi utamanya yang berkaitan dengan pengabdian diri kepada Allah.

Malah, institusi masjid juga digunakan sebagai tempat mengadakan mesyuarat, memperkembangkan ilmu pengetahuan untuk menjalani kehidupan lebih sempurna di dunia, sesuai dengan konsep Islam sebagai Addin, satu cara hidup merangkumi persoalan selepas mati dan ketika masih hidup.

Dalam suasana itu, masjid akan menjadi tempat tumpuan penting bagi seluruh masyarakat Islam tidak kira golongan tua, remaja atau kanak-kanak kerana wujudnya pelbagai daya tarikan yang menambat hati mereka untuk ke masjid.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) selain Allah maka merekalah orang yang diharapkan termasuk golongan orang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Malangnya, apabila masyarakat Islam semakin maju, pengurusan masjid menjadi tidak berkualiti sekalipun bangunannya dibina dengan begitu besar dan indah tersergam. Cuma apabila tiba waktu sembahyang, barulah masjid itu didatangi oleh sebahagian kecil umat Islam untuk berjemaah.

Jika diperhatikan, tidak ramai umat Islam mengerjakan sembahyang berjemaah kecuali untuk sembahyang Jumaat ataupun hari perayaan. Kadangkala ketika sembahyang harian, satu saf pun tidak penuh.

Persoalannya ialah kenapa institusi masjid yang begitu mulia menjadi begitu memalukan sehingga kadangkala di sesetengah tempat sembahyang Jumaat terpaksa ditangguhkan kerana jumlah makmum yang tidak mencukupi.

Sesungguhnya, institusi masjid memerlukan satu reformasi dalam mengembalikan peranannya demi menarik kembali kehadiran umat Islam dan merubah kemuraman yang berpanjangan seperti menubuhkan perpustakaan memuatkan pelbagai jenis bahan bacaan yang boleh menarik minat masyarakat Islam sama ada golongan dewasa ataupun remaja.

Usaha itu bukan saja akan melahirkan semangat persefahaman, lebih penting ialah mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat Islam dengan lebih berkesan. Selain itu mereka juga mempunyai banyak masa berbincang persoalan pembangunan ummah demi kemajuan masyarakat Islam.

Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid juga perlu membelanjakan wang yang tersimpan untuk menjalankan aktiviti atau program yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat Islam seterusnya mengimarahkan rumah Allah itu.

Pihak yang enggan membelanjakan wang masjid untuk kesejahteraan masyarakat sebaliknya lebih suka bermegah dengan jumlah besar yang dikumpul menyebabkan institusi itu menjadi beku, jumud dan pasif.

Ada juga masjid yang dikunci pada masa tertentu kononnya untuk menjaga kebersihan atau keselamatan masjid. Padahal, ada cara lain yang boleh difikirkan untuk mengatasi masalah kecurian kerana masjid sebagai rumah Allah sepatutnya terbuka kepada penduduk tempatan ataupun orang luar yang sedang musafir.

Bukan setakat itu saja, ada yang menetapkan undang-undang hingga menyukarkan sesetengah pihak menggunakan masjid sebagai pusat menganjurkan pelbagai program keagamaan semata-mata perlu menunggu keputusan daripada AJK masjid.

Kita bimbang dengan amaran Allah terhadap golongan dicop sebagai munafik yang mendirikan masjid dengan tujuan untuk meruntuhkan Islam itu sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (di antara orang munafik itu) ialah orang yang mendirikan masjid untuk menimbulkan kemudaratan (pada orang mukmin) untuk kekafiran dan memecah belahkan orang mukmin serta menunggu kedatangan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya sejak dulu. Mereka sesungguhnya bersumpah: Kami tidak menghendaki selain kebaikan dan Allah menjadi saksi bahawa sesungguhnya mereka itu adalah pendusta.” (Surah at-Taubah, ayat 107)

Jawatankuasa masjid perlu peka untuk meningkatkan kepelbagaian sumber maklumat dan bahan rujukan di masjid supaya masyarakat sentiasa berkunjung ke sana. Kemudahan perlu diperbanyakkan supaya jemaah berasa lebih selesa berada di masjid.

Selain itu program keagamaan tidak semestinya bercorak kuliah agama oleh tok guru semata-mata tetapi akan menjadi lebih menarik seandainya bentuk pengajian itu dipelbagaikan seperti kelas komputer, kelas tambahan pendidikan Islam, kelas bahasa, kelas kraftangan dan sebagainya.

Apakah kita menganggap kelas seumpama itu tidak Islamik? Jika itulah anggapan kita, maka kita akan dipersalahkan oleh generasi akan datang kerana Islam itu bersifat menyeluruh dan mencukupi pelbagai bidang.

Kita tidak boleh menyalahkan masyarakat yang tidak mahu datang ke masjid tetapi perlu melipat gandakan usaha bagaimana untuk menarik minat orang ramai terutama golongan remaja dan anak muda menghampiri masjid.

Apa yang jelas, institusi masjid memerlukan reformasi selaras kemajuan pembangunan dan pemodenan supaya masyarakat Islam tidak ketinggalan daripada bangsa lain. Umat Islam sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk memantapkan pengetahuan supaya dapat lari daripada budaya lain, seterusnya mampu menjadi pemimpin dunia pada masa akan datang.

kompilasi,
khairulnazri.blogspot.com

No comments:

Cars & Formula 1