15 July 2008

Boleh agaknya kita tidak berbelanja untuk satu hari?


16 Julai ialah "Hari Tidak Berbelanja", satu kempen yang dianjurkan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Barangkali ramai yang berasa skeptikal dengan kempen ini, memandangkan terlalu banyak kempen yang diadakan selama ini tidak mendatangkan sebarang hasil.

Dalam masa yang sama mungkin juga tidak ramai yang boleh memberikan jawapan spontan 'Ya' jika dilontarkan dengan soalan ini, "Boleh agaknya anda tidak berbelanja dalam sehari?"

Bagi sesetengah orang, berbelanja itu lebih berbentuk kemahuan bukan keperluan. Ada juga yang menjadikan berbelanja itu sebagai satu hobi, tanpa mengira sama ada poket berisi atau tidak, awal atau tengah bulan apatah lagi bila menjelang musim perayaan.

Sikap boros berbelanja juga menjadikan mereka mangsa hutang kad kredit keliling pinggang!

Tidak kurang juga yang menjadikan membeli belah sebagai satu cara untuk menghiburkan hati apabila dilanda gundah-gulana atau untuk mengurangkan stres.

Di sinilah letaknya cabaran 'Hari Tidak Berbelanja" anjuran Fomca ini. Inilah sebenarnya ujian untuk anda! Secara jujurnya sejauh mana anda boleh mengekang kemahuan untuk tidak berbelanja ini.

Matlamat kempen

Kempen "Hari Tidak Berbelanja" aalah sebahagian daripada pengisian program Kempen Pengguna Kebangsaan yang berlangsung selama 48 bulan bermula Jun tahun ini sehingga Jun 2012.

Sewaktu sidang akhbar mengumumkan kempen ini, Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata melalui kempen ini Fomca mahu pengguna meminimumkan perbelanjaan mereka.

Langkah itu adalah bagi mencapai matlamat mendidik orang ramai supaya mengamalkan sikap lebih berjimat dan tidak terperangkap dengan pembelian kerana jenama atau atas nama status kehidupan.

Menerusi kempen ini juga, pengguna boleh mengesan ke mana perginya wang yang dibelanjakan. Sama ada wang dibelanjakan untuk tujuan atau keperluan sebenar kehidupan atau dibazirkan sekadar memenuhi nafsu kemahuan.

Bukan untuk boikot

Marimuthu menegaskan "Kempen Hari Tidak Berbelanja" bukan bertujuan memboikot atau memprotes mana-mana pihak.

"Kempen ini lebih kepada usaha untuk mendidik orang ramai supaya lebih berhemat dalam menguruskan perbelanjaan seharian.

"Tidak ada kena mengena sama sekali dengan protes. Kami hanya mahu orang ramai menyedari erti nilai wang yang dibelanjakan dalam masa satu hari," katanya.

Menurut Marimuthu, kempen yang sama berjaya dijalankan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

"Kempen Hari Tidak Berbelanja" akan hanya berjaya mencapai matlamatnya sekiranya mendapat sokongan padu masyarakat pengguna negara ini, katanya.

Cabaran mudah untuk anda lakukan sempena kempen Fomca ini ialah mengamalkan cara hidup sederhana sepanjang kempen sehari ini.

Antaranya Marimuthu mencadangkan daripada anda keluar berbelanja, luangkan masa untuk bersama keluarga dan rakanrakan anda tetapi jangan membelanjakan wang untuk mereka pada hari itu.

Kempen ajak pengguna berfikir

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata pihaknya menyokong usaha yang digerakkan oleh Fomca untuk mendidik tabiat berbelanja berhemat dalam kalangan pengguna di negara ini.

"Kempen ini baik untuk mengajak pengguna berfikir supaya dia dapat melakukan beberapa perkara yang membolehkan dia tak perlu berbelanja perkara yang tidak perlu dan mendatangkan kemudaratan.

"Contoh, kalau hari itu dia makan di luar, sekarang dia masak sendiri di rumah dan bawa bekal. Kalau dia merokok, hari itu dia tidak merokok. Apa yang kita mahu pengguna ada inovasi baru dalam kehidupan mereka," jelas beliau.

Tambahnya, pengguna juga boleh menggunakan hari yang sama untuk membuat inventori untuk mengelakkan pembaziran.

"Kita lihat apa yang kita ada di rumah, barangan dapur umpamanya, apa yang ada, apa yang dah sudah luput tarikh penggunaannya. Lazimnya kita selalu membeli barang yang kita sudah ada dan kemudian tidak digunakan.

"Menjelang musim perayaan, elok juga kita tengok pakaian anak-anak kita, mana yang masih boleh pakai. Kain langsir pun kalau boleh digunakan dan ubah suai reka bentuknya, gunakan lagi. Ini semua boleh menjimatkan perbelanjaan," tambah Dr Maamor.

Boleh hidup tanpa berbelanja

Dr Maamor turut berharap kempen 'Hari Tidak Berbelanja' ini juga akan membolehkan pengguna memberi mesej yang jelas kepada diri sendiri bahawa dia sebenarnya boleh hidup tanpa berbelanja.

Pengguna di Malaysia, katanya, perlu belajar merancang perbelanjaan dan bersiap sedia untuk menghadapi masa kecemasan.

"Sekarang ada sesetengah pengguna yang bersikap tidak apa tetapi jika berlaku kecemasan seperti banjir, bagaimana hendak menghadapi keadaan ini?" soalnya.

Sebenarnya ada banyak sebab untuk memaksa masyarakat pengguna negara ini menjadi lebih berhemat dan berjimat dengan perbelanjaan mereka.

Satu yang ketara keluh-kesah yang saban hari didengar mengenai harga barang lebih-lebih lagi sejak kenaikan harga petrol dan diesel awal Jun diikuti dengan semakan semula tarif elektrik pada 1 Julai lepas.

Inilah realiti yang tidak boleh dipandang ringan pengguna di negara ini.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini berkata kadar inflasi bulan Jun dijangka meningkat melebihi 6 peratus ekoran kenaikan 41 peratus harga petrol dan 63.3 peratus diesel.

Beliau turut memberi bayangan kadar inflasi domestik dijangka terus meningkat sehingga awal tahun 2009.

Sewajarnya semua golongan, baik yang kaya, yang miskin, pihak kerajaan, kakitangan swasta mahu pun peniaga, yang masing-masing adalah pengguna, boleh bertindak secara proaktif dalam soal berbelanja ini.

Keadaan semasa juga menjadikannya lebih sesuai untuk mempraktikkan peribahasa "ukur baju di badan sendiri". Jadilah pengguna bijak, untuk esok dan seterusnya, bermula dengan 'Hari Tidak Berbelanja' ini. BERNAMA


kompilasi,

khairulnazri.blogspot.com







No comments:

Cars & Formula 1