25 July 2008

Demokrasi dalam UMNO - diuji atau diperhati ?


Sempena mesyuarat cawangan Bandar Baru Sultan Suleiman DUN Sementa yang bermula pada 27hb Julai ini, molek kita renungi kembali satu peristiwa penting di dalam sejarah UMNO.

Pada penghujung tahun 80-an, parti UMNO telah dicemari dengan satu peristiwa hitam. Pergelutan kuasa serta sikap tidak puas hati sesetengah pemimpin UMNO terhadap keputusan pemilihan parti yang berlangsung pada 24 April 1987, telah mengakibatkan pengharaman parti UMNO oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988.

UMNO telah didaftarkan kembali pada 13 Februari, 1988 dan diumumkan secara rasmi pada 16 Februari, 1988 iaitu pada hari UMNO diterima semula sebagai anggota Barisan Nasional. Rentetan kepada peristiwa tersebut, berlakukah perpecahan ahli-ahli UMNO kepada dua parti Melayu iaitu UMNO Baru dan Semangat 46.

Begitulah senario politik Melayu pada penghujung tahun 80-an. Pertandingan di atas tiket demokrasi yang dilaung-laungkan, tidak disambut dengan intonasi yang sama apabila ada pemimpin yang kalah di dalam pemilihan UMNO.

Sepatutnya, yang kalah mesti akur dengan keputusan majoriti dan jika pemimpin-pemimpin tersebut benar-benar menghayati perjuangan UMNO, tidak akan berlaku perpecahan parti UMNO.

21 tahun telah berlalu, sejarah hitam tahun 1987 perlu sentiasa diingati kerana impaknya terlalu besar dan hampir meranapkan kepercayaan orang Melayu terhadap parti UMNO.

Biar pun sensitif dan pahit untuk ditelan, peristiwa tersebut merupakan pengajaran yang sangat penting terutamanya kepada pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, yang ketika itu masih di dalam usia belasan tahun dan terlalu muda untuk mengarap senario politik di Malaysia.

Realitinya, parti UMNO hampir musnah dek sikap sesetengah pemimpin yang tidak berpegang kepada prinsip demokrasi.

Alasan bahawa amalan pertandingan di dalam hieraki kepimpinan di anggap sihat dan matang, tidak disusuli dengan tindakan menerima keputusan dengan sihat dan matang juga.

Sejarah telah membuktikan bahawa akan berlaku pergeseran yang nyata di antara pemimpin-pemimpin yang bertanding, baik di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau pun peringkat Pusat.

Pemulauan, cantas-mencantas dan tidak bekerjasama adalah tindakan susulan yang biasa kita saksikan dan amati. Janganlah kita menafikan sikap-sikap negatif ini.

Dengan mengakui kepincangan sikap-sikap ini, kita akan dapat memperbaiki kembali perhubungan kita.

Pihak yang dipilih mesti merapatkan kembali barisan manakala pihak yang tidak dipilih pula mesti akur dengan prinsip demokrasi yang mendukung suara majoriti dan bersama-sama meneruskan perjuangan parti UMNO.

Tetapi yang banyak menimbulkan masalah sebenarnya ialah kaedah pencalonan dan pemilihan yang tidak sihat seperti melobi-lobi secara berlebih-lebihan, ugut, janji-janji manis dan politik wang.

Maka, ada baiknya jika pemantauan di adakan secara telus tentang perkembangan politik di cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian selepas pemilihan UMNO ini agar kurang berlaku pergeseran dan cantas-mencantas yang boleh memecah-belahkan parti UMNO.

Realitinya, seluruh rakyat Melaysia terutamanya kaum Melayu, sedang menilai adab-cara dan tatasusila pemilihan UMNO pada tahun ini.

Dan JIKA UMNO berjaya keluar daripada kepompong dan masalah lama serta dapat mewujudkan rebranding yang lebih mantap dan telus, kita pasti bahawa ramai orang Melayu yang akan kembali menyertai parti UMNO.

Akhir kata, Rasulullah s.a.w bersabda,

Ertinya,

“Janganlah kamu saling dengki-mendengki, memutuskan hubungan persaudaraan, saling benci-membenci, belakang-membelakangi dan jadilah kamu semua hamba Allah yang bersaudara, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu semua.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selamat Bersidang.

kompilasi,
khairulnazri.blogspot.com


No comments:

Cars & Formula 1