05 July 2008

Rasional penstrukturan subsidi minyak

PENGUMUMAN penstrukturan semula subsidi minyak oleh kerajaan yang menyaksikan harga petrol dinaikkan 78 sen seliter dan kenaikan beberapa harga bahan bakar lain, menimbulkan banyak keresahan di kalangan masyarakat.

Rentak kehidupan dan corak perbelanjaan keseluruhan rakyat terkesan dengan pengurangan subsidi minyak. Secara umumnya semua rakyat merasai kesan polisi baru ini. Namun, saluran impak dan kesannya berbeza, tertakluk antaranya berdasarkan kepada kelas pendapatan dan juga kawasan penempatan (bandar atau luar bandar).

Begitu juga bagi sektor perniagaan. Sama ada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau sektor korporat, semuanya terasa kesan penstrukturan itu, secara langsung atau tidak. Perubahan polisi sedemikian, umpama hujan yang turun dari langit membasahi setiap pelosok bumi, pastinya bukan tindakan popular untuk kerajaan semestinya didasari oleh hujah dan faktor penyebab yang kukuh.

Yang tersurat, tanpa penstrukturan semula subsidi yang diumumkan, jumlah subsidi minyak yang perlu dipikul kerajaan dijangka mencecah hampir RM33 bilion tahun ini. Bebanan subsidi yang melambung tinggi ini, sudah berulang kali dilaporkan media.

Semua sudah tahu, tapi masih ramai mungkin tidak menyedari jumlah RM33 bilion ini hampir menyamai (secara purata kasar) pembinaan 4,700 sekolah rendah baru, 55 hospital baru, 41 kampus universiti baru atau 4,100 kilometer jalan baru.

Perbelanjaan subsidi minyak oleh kerajaan bukan percuma. Tinggi kos di sebaliknya. Setimpalkah manfaat subsidi yang diterima dengan apa yang terpaksa kita korbankan?

Minyak di pam murah, namun bagaimana pula aspek kualiti hidup lain? Kita juga menanggungnya. Berapa ramai murid yang tidak mendapat kemudahan pendidikan berkualiti? Masyarakat luar bandar masih dibelenggu kemudahan dan infrastruktur yang terhad.

Perkhidmatan kesihatan yang berkualiti masih tidak dapat dinikmati sebilangan besar masyarakat dan bermacam-macam lagi. Ini yang tersurat. Bagaimana pula yang tersirat?

Kebergantungan sesebuah ekonomi ke atas polisi yang memerlukan subsidi ditanggung oleh kerajaan secara berpanjangan (tiada had tempoh) dan meluas (meliputi semua lapisan masyarakat) umpama dadah ekonomi yang berbahaya.

Dalam dunia perubatan dadah ada gunanya. Namun kalau penggunaannya tidak dikawal, ia boleh membunuh. Subsidi juga sama. Kalau berleluasa dan keterlaluan, ia mengkhayalkan ejen ekonomi (pengguna, firma dan kerajaan) dan melemahkan sistem saraf ekonomi untuk bertindak balas dengan sesuatu tekanan atau perubahan.

Kemajuan ekonomi memerlukan sesebuah negara memastikan sumber terhad, dapat diagihkan dan digunakan secara cekap yang menghasilkan pulangan terbaik. Sejauh mana ini dapat dicapai amat tertakluk pada kewujudan isyarat yang tepat, iaitu harga pasaran didasarkan pada faktor permintaan dan penawaran yang sebenar dan tidak dicemari gangguan manipulasi.

Naik turun harga adalah isyarat sangat penting yang seharusnya mendorong tingkah laku pembeli (permintaan) dan penjual (penawaran). Sebelum penstrukturan semula subsidi diumumkan, rata-rata masyarakat tidak banyak memikirkan alternatif menjimatkan penggunaan minyak atau mencari kaedah pengangkutan lebih murah.

Tidak ramai yang tahu apa itu gas asli kenderaan (NGV). Dana yang disalurkan untuk mewujudkan alternatif baru (swasta atau kerajaan), sama ada dari segi penyelidikan mencari teknologi baru atau infrastruktur pengangkutan alternatif adalah terhad.

Tidak menjadi keutamaan yang tinggi. Perniagaan pengangkutan awam sering dibelenggu kerugian. Tiada permintaan maka tiada penawaran. Masyarakat dan firma hidup dalam suasana yang tidak hakiki, didorong oleh isyarat harga yang tidak lagi berfungsi.

Sumber yang terhad tidak dapat diagihkan secara berkesan. Lampu isyarat kereta yang rosak menyulitkan pemanduan. Harga yang dikawal pergerakannya secara keterlaluan dan berpanjangan bukan saja tidak berfungsi, malah memberi isyarat salah.

Harga minyak dipam yang terus kekal rendah sedangkan harga minyak mentah global meningkat melebihi 300 peratus (2003 - 2008). Keadaan sedemikian gagal merangsang pengurangan permintaan minyak dalam negara.

Rentetan kenaikan harga begitu banyak sektor perniagaan secara mendadak akhir-akhir ini jelas sekali mengesahkan betapa sistem subsidi diamalkan selama ini, sudah menular dan menyebabkan pengoperasian banyak perniagaan dan kos kehidupan dalam suasana tidak hakiki.

Polisi subsidi yang berleluasa sebenarnya banyak menghalang sektor perniagaan Malaysia mempertingkatkan tahap daya saing jitu yang mampu bertahan lama. Ketidakmampuan untuk bertindak terhadap perubahan harga disebabkan kelesuan saraf ekonomi yang disuntik subsidi terlalu lama perlu diubati segera.

Malaysia mensasarkan 2020 untuk menjadi negara maju. Segenap lapisan masyarakat perlu segera memperbaiki kelesuan ini. Kerajaan perlu menangani permasalahan ini dan anjakan paradigma pengurusan ekonomi negara perlu disegerakan.

Masyarakat perlu jelas kesan yang tersirat dalam polisi pemberian subsidi berpanjangan dan meluas. Dalam tempoh jangka panjang, sistem subsidi sebegini merugikan kita semua. Ini yang tersirat.

Adakah ini bererti subsidi perlu dihapuskan semuanya? Jawabnya, tidak. Sebaliknya yang kita perlukan ialah sistem subsidi yang efisien. Pakej subsidi yang efisien perlu benar-benar jelas dalam empat persoalan iaitu;

Mengapa memberi subsidi? Siapa yang patut menerimanya? Bagaimana subsidi akan dibayar? Bilakah subsidi ini akan disemak? Pada masa sama, sistem subsidi yang efisien juga perlu memastikan yang isyarat harga tidak terhalang dan berfungsi dengan sempurna.

Harus kita ingat bahawa tidak semua dapat menahan daripada dibasahi hujan. Bagi yang berpayung, mungkin hanya tempias dirasai. Bagaimana pula yang tak berpayung atau lebih ekstrim lagi, tetapi tidak berkemampuan untuk membeli payung?

Kepada yang berpayung tidak perlu dibantu. Tempias tidak memudaratkan. Pada yang tidak berpayung, kita perlu mengenalpasti mengapa mereka tidak berpayung. Kalau mereka mampu tetapi dengan sengaja memilih tidak mahu membeli payung dan sanggup basah, biarkan saja mereka basah kuyup.

Setiap individu berkemampuan dan mempunyai pilihan wajar dibiar menentu hala tuju sendiri. Kalau dilayan dengan subsidi, sifat buruk ini akan menjadi semakin mudarat. Subsidi hanya perlu disasarkan pada golongan tidak berkemampuan untuk membeli payung atau yang payungnya agak kecil dan tidak berupaya melindungi ahli keluarga yang ramai.

Dari sudut ilmu ekonomi, dalam ekonomi atau pasaran yang sempurna atau ideal sifatnya, iaitu, semua pihak setara dan setanding, semua pihak mempunyai peluang berkualiti, pilihan dan kemampuan sama, subsidi adalah gangguan mutlak kepada pasaran.

Ia hanya merugikan. Namun, ekonomi yang sempurna dan ideal seperti digambarkan adalah suasana ekstrem yang jauh daripada dunia realiti. Hakikatnya, dalam sesebuah ekonomi, ada miskin dan kaya, ada besar dan kecil, dan ada bandar dan luar bandar, sifat kesempurnaan ekonomi yang menjadikan subsidi sebagai gangguan mutlak tidak mungkin wujud.

Oleh itu ada ruang untuk subsidi. Subsidi diperkenalkan bukan untuk membelai masyarakat tetapi khusus untuk menangani golongan berdepan dengan 'kegagalan pasaran' iaitu kelompok masyarakat yang secara semula jadi (bukan salah mereka) dihimpit oleh perubahan pasaran.

Pilihan yang ada terlalu terhad atau tidak berkemampuan mencari alternatif lain untuk mengharungi perubahan pasaran. Mereka yang berpendapatan rendah, miskin, di bandar dan juga di luar bandar adalah kumpulan yang berkemungkinan termasuk dalam kategori ini.

Mengekalkan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran dengan pembayaran subsidi bukan jalan keluar, walaupun untuk membantu masyarakat. Nampak mudah tetapi amat merugikan.

Dengan mengekalkan harga dipam murah untuk semua melalui subsidi, bukan saja kosnya tinggi, malah kumpulan disasarkan berkemungkinan besar bukan penerima utama. Mekanisme bantuan dan subsidi secara yang lebih terus hanya kepada kumpulan sasar lebih banyak membantu dan lebih rendah kosnya.

Ditokok dengan kesan subsidi yang tersirat, kelesuan saraf ekonomi akibat kegagalan isyarat harga berfungsi, pastinya memerlukan kita menilai semula sistem subsidi minyak sedia ada. Dalam konteks lebih luas, penstrukturan semula subsidi minyak dan kenaikan harga minyak bukan sekadar menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Bukan sekadar menangani kenaikan harga minyak global. Bukan sekadar memastikan kumpulan sasar menerima bantuan, namun, lebih daripada itu. Dari sudut pembangunan ekonomi, anjakan paradigma polisi pengurusan ekonomi negara ini umpama ubat pahit yang perlu ditelan agar kelemahan saraf ekonomi yang dialami dapat diubati. Pahit ditelan tetapi mudah-mudahan membawa kesihatan dan kesejahteraan berpanjangan.


kompilasi,
khairulnazri.blogspot.com



No comments:

Cars & Formula 1