25 September 2008

Empayar Amerika Goyah




Gagal tangani penentangan di Iraq, Afghanistan: Ahmadinejad

NEW YORK: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata 'empayar Amerika' semakin menghampiri kejatuhan dan negara kuasa besar tunggal dunia itu patut menamatkan pembabitan tenteranya di negara lain.

Beliau memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu semalam keganasan sedang merebak dengan cepat di Afghanistan ketika 'penjajah' masih berada di Iraq hampir enam tahun selepas Saddam Hussein disingkirkan.

Katanya kehadiran Amerika dan tentera Nato di Afghanistan menyumbang kepada peningkatan mendadak keganasan dan pengeluaran bahan narkotik di negara itu.

"Empayar Amerika di dunia sudah berada di penghujung jalan dan pemerintah selepas itu mesti mengehadkan campur tangan kepada sempadan mereka sendiri," katanya.

Beliau juga menuduh Amerika memulakan peperangan di Iraq dan Afghanistan bagi mendapatkan undi dalam pilihan raya dan menyalahkan 'beberapa kuasa pembuli' kerana cuba menghalang program nuklearnya.

"Beberapa kuasa pembuli cuba mewujudkan halangan terhadap kegiatan nuklear untuk tujuan keamanan yang dilaksanakan Iran dengan mengenakan tekanan ekonomi dan politik ke atas negara ini," katanya.

Ahmadinejad turut mengecam Israel dan berkata "rejim Zionis berada di jurang kemusnahan dan tiada jalan untuk keluar dari lubang jahanam yang dicipta sendiri bersama penyokongnya."

Presiden Iran itu menuduh satu kelompok kecil penipu dikenali Zionis mendominasi pusat kewangan dan pembuat keputusan di beberapa negara Eropah dan Amerika.

Ucapan beliau dibuat beberapa jam selepas Presiden Amerika George W Bush menyampaikan ucapan ke lapan dan terakhir beliau pada perhimpunan PBB itu dengan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap program nuklear Iran dan Korea Utara.

Bush diberi tepukan kurang 10 saat selepas ucapannya itu yang turut menggesa pemimpin dunia mengambil pendirian terhadap serangan bunuh diri. � AP


[sumber : Berita Harian]



No comments: