Pertemuan besar kepimpinan tertinggi PAS bulan depan tidak boleh ditangguh lagi bagi membendung tanggapan negatif penyokong terhadap parti itu yang “terlalu berlebihan”, kata PAS Perak.
“Walaupun perselisihan itu pada asalnya tidaklah sebesar mana, tetapi di kalangan penyokong, sampai ada yang datang bertanya betulkah (pengarah pilihanrayanya) Datuk Mustafa (Ali) hendak masuk Umno,” kata pesuruhjayanya Ahmad Awang.
“Tanggapan orang ramai sudah terlalu berlebihan.”
Ahmad merujuk pertembungan terbuka dalam kalangan pemimpin atasan parti itu berhubung pelbagai isu seperti kerjasama dalam Pakatan Rakyat, rundingan sulit dengan Umno dan pendirian tentang peralihan kuasa yang diusahakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semua anggota jawatankuasa pusat PAS dan Majlis Syura Ulama dijangka bertemu di Langkawi antara 7 hingga 9 November bagi meredakan pertembungan tersebut.
Permukiman itu dilaporkan bertujuan “menyatukan fikrah pemimpin PAS kembali.”
Beberapa kertas kerja dijadual dibentangkan pemimpin PAS, termasuk ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar Ogos lalu.
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, keperluan menyegerakan pertemuan besar itu ditegaskan kembali dalam mesyuarat biro politik PAS, Ahad lalu.
Beliau, yang menganggotai biro penting itu, bagaimanapun tidak hadir.
Katanya, permukiman itu “amalan biasa PAS” setiap kali selepas muktamar tahunan dan kali ini ia dijangka bertujuan memfokuskan usaha mengukuhkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat seperti yang diputuskan di Ipoh, Ogos lalu.
Selain itu, tambahnya, ucapan dasar presiden akan dikupas lebih mendalam.
Dalam muktamar lalu, pertembungan dalaman PAS tergambar apabila perbahasan isu rundingan dengan Umno menjadi “agak gawat”, katanya.
Menurut Ahmad lagi, pertembungan yang bermula sejak beberapa bulan sebelum itu telah menyebabkan “ada pemimpin yang jauh hati”.
Diminta mengulas perdebatan terbuka antara pemimpin dan penyokong parti itu di Internet yang semakin leluasa, beliau berkata:
“Masih ada kekeliruan di peringkat parti. Maklumlah zaman ini zaman media, masing-masing boleh tulis macam-macam.”
Pertembungan terbuka itu, menurutnya lagi masih boleh diterima dengan syarat mesti ada panduan, adab-adab dan menghormati wala’ (kesetiaan kepada pemimpin).
Perkara ini berbeza di peringkat Perak yang harmoni dan sepakat, katanya.
Sementara PAS Perlis pula berkata, pertemuan besar barisan tertinggi PAS itu susulan kegagalan mereka merumuskan pendirian berhubung kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat ketika mesyuarat jawatankuasa pusat yang lepas.
Akibat mesyuarat itu terlalu suntuk untuk membahaskan bentuk kerjasama PAS dengan PKR dan DAP, maka dicadangkan satu pertemuan khusus selama beberapa hari, kata pesuruhjayanya Hashim Jasin.
Di Perlis, tambahnya, isu kerjasama PAS dalam gabungan pembangkang “tidak serius” berbanding rundingan tertutup parti itu dengan Umno yang meledak pertengahan tahun ini.
Mengulas perdebatan terbuka yang rancak di Internet, wakil rakyat Sanglang berkata, perkara itu “tidak bagus” dan “seelok-eloknya tidak patut terbuka”.
Bagaimanapun, katanya, dari aspek yang lain, ia dapat “mematangkan kepimpinan” sedia ada.
Beliau juga tidak menafikan pertembungan ini akan mewujudkan beberapa kem menjelang pemilihan parti itu tahun depan.
“(Hakikat) itu tidak boleh lari. Seeloknya jangan ada kempen-kempen. Boleh bagi pandangan tetapi jangan sampai jadi adik kepada Umno (ikut cara kempen pemilihan Umno),” katanya.
[sumber : Blogger]
1 comment:
salam bro...
PAS tu tak kemana pun, terlingkup boleh ler..berteman dengan makhluk dua alam, padah ler yang mereka dapat>>
Post a Comment