22 January 2009

Kalah lagi...

Kita kena ganyang 5-0


PEMAIN-pemain UAE meraikan kejayaan menewaskan Malaysia dengan kemenangan besar di Kuala Lumpur, malam tadi. - UTUSAN/NAZUDEEN MAHMUD


KUALA LUMPUR - Malaysia membuka kempen bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 dengan langkah longlai lagi menghampakan setelah dijadikan mangsa belasahan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, semalam.


Permulaan hambar mereka yang belum pulih daripada kegagalan pada Piala Suzuki AFF, bulan lalu turut memberikan kekalahan sulung kepada jurulatih, B. Sathianathan yang menerajui skuad ini tanpa kalah di tempat sendiri sejak Oktober 2007.


Dua jaringan ketua pasukan, Mohamed Omar Mohd. Ahmad pada minit ke-29 dan 44, selain Ismaeil Matar Ibrahim Khamis (ke-62 dan 76) serta Mahmoud Khamis Saeed Khamis (85) membolehkan skuad bimbingan Dominique Bathenay itu pulang dengan tiga mata sebelum menyambung semula kempen, November ini.


Begitupun pada awal minit pertama, Malaysia menunjukkan keyakinan dan memulakan serangan menerusi sayap kirinya, Khyril Muhymeen Zambri yang membuat gerakan solo, merembat leret, namun tersasar sedikit dari tiang kanan gawang UAE.


Pasukan pelawat tidak ketinggalan menguji tuan rumah pada minit ke-15 menerusi rembatan pemain tengah, Aljunaibi Abdulsalam Jumaa Anbar yang sempat menggugat Syamsuri tetapi cubaannya sekadar mengenai palang gol.


Satu rembatan jarak dekat oleh Zaquan Adha Radzak, empat minit kemudian mencemaskan pula penjaga gol UAE, Majed Naser Humaid Bakheit tetapi hanya mengenai sisi jaring.


Angkara kecuaian benteng tuan rumah pada minit ke-29, UAE membolosi gawang apabila gerakan satu dua oleh penyerang utamanya, Ismail Matar Ibrahim Khamis membolehkan Omar menolak bola masuk.


Kurang tiga minit sebelum rehat, Hardi Jaafar yang memperoleh sepakan bebas dari sebelah kanan, melepaskan rembatan melengkung tetapi terlalu tinggi untuk memasuki gawang UAE, juara Piala Teluk 2007.


Malangnya, pelawat yang menambah gol kedua menerusi sepakan penalti Omar setelah pemain tengah negara, Hardi dipersalahkan oleh pengadil Williams Benjamin Jon kerana mengasari Ismail Salem Ismail Saeed pada minit ke-44.


Skuad negara kembali bersemangat pada babak kedua dengan rembatan Safee daripada umpanan Zaquan, bagaimanapun tepat ke dakapan penjaga gol lawan, Majed Naser pada minit ke-61.


Seminit selepas itu, UAE terus mengukuhkan kedudukan 3-0 apabila rembatan voli Ismaeil Matar berjaya menewaskan Syamsuri buat kali ketiga.


Pada minit ke-76, penjaga gol simpanan, Syed Adney Syed Hussein yang masuk menggantikan Syamsuri kerana kecederaan, turut dibolosi dengan rembatan kaki kiri Ismaeil, diikuti jaringan Mahmoud Khamis (ke-85).


Komen Blogger,


1. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa ini merupakan satu lagi contoh bahawa tahap professionalisme bolasepak kita masih lagi ditakuk yang lama. Tiada kemajuan, tiada perubahan. Jelas bahawa sikap dan minda para pemain adalah kunci utama kearah penghijrahan dalam dunia bolasepak kita.


2. Biar siapapun yang mengendali pasukan bolasepak kita, namun jika sikap kita terutama para pemain masih dengan minda bermain kerana wang, maka kita akan terus menatap berita dan hasil seperti ini di dada-dada akhbar.


3. Kita harus ada sikap kenegaraan yang tinggi setiap masa tidak mengira apa juga biadang dan sukan kita ceburi. Mempertahankan negara perlu untuk berjaya terutama di dalam sukan yang melibatkan pelbagai negara. Contoh yang jelas adalah Vietnam yang kita semua nampak perubahan besar dalam pasukan tersebut.


4. Kita hanya gah membuat kenyataan yang berapi-rapi, disokong pula dengan strategi serta sejarah silam yang membanggakan. Namun dalam pada masa yang sama kita tidak berusaha kearah tersebut. Kita masih duduk didalam zon selesa.


Kini, selesakah kita asyik diganyang sahaja ?


No comments:

Cars & Formula 1