25 May 2010

INGATAN : Akibat kita mudah diperalatkan

Kadang-kadang saya terfikir masih apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1 Malaysia. Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya bukan Melayu mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1 Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengikhtiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamirkan data-data dan statistik, InsyaAllah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak. Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk who are we, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini kita bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.

Semua yang dituntut selama ini boleh dikatakan telah hampir dipenuhi oleh kerajaan. Saya tidak nafikan ada wujud lompongan dan kelemahan sana sini dalam kerajaan seperti isu rasuah dan integriti. Dengan sebab itu ditubuhkan SPRM dan Institut Integriti. Langkah penambaikan sebegini janganlah ditolak kesemuanya.

Apa lagi sebenarnya agenda ultra kiasu? Saya fikir kita sudah tersasar kerana terlalu melayan mereka, sehingga kaduk naik junjung.

Lihat sahaja jawatan-jawatan politik dalam kabinet. Jawatan tersebut sudah tidak lagi mencerminkan perwakilan kaum, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Desakan dan tuntutan terus dibuat untuk menambah lagi jawatan-jawatan bukan Melayu, walaupun bilangan mereka hanya sekelumit. Parti baru demi parti baru ditubuhkan dengan keahlian yang boleh dikira dengan jari, mereka begitu berani menuntut kerusi pilihan raya serta jawatan dalam kabinet.

Lihatlah apa yang telah segelintir ultra kiasu ini dapat. Sekolah sendiri, universiti sendiri, ekonomi sendiri, pertubuhan perkauman sendiri dan lain-lain. Syarikat merekalah yang paling banyak disenaraikan dalam bursa saham, termasuk syarikat yang menjadikan sektor kematian dan perkuburan sebagai sebagai bisnes.

Ke manakah wang dibawa pergi setelah mereka kaya raya? Wang dilaburkan di luar negara, kemudian segelintir mereka berhijrah lari meninggalkan negara kita dengan menukar taraf warganegara. Mereka tidak ada rasa terhutang budi untuk membalas jasa.

Pada mereka, mereka kaya disebabkan oleh usaha mereka sendiri, tidak ada kena mengena dengan polisi yang sedia ada menjadikan mereka kaya. Pada saya, jika sistem itu tidak membenarkan mereka menjadi kaya, tidak mungkin mereka akan kaya. Adakah dengan adanya dasar afirmatif, mereka menjadi semakin miskin? Tidakkah dengan DEB mereka turut menjadi kaya. Semakin ramai lahir usahawan bumiputera dilahirkan, semakin ramai mereka akan menjadi kaya. Logiknya mudah, jika seorang usahawan bumiputera dilahirkan, mereka memerlukan produk. Siapakah yang memilik produk tersebut dan menjualkannya kepada bumiputera tersebut? Sudah tentu bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Maknanya, semakin kaya orang Melayu, orang bukan Melayu turut menjadi kaya sama, malah kaya berganda-ganda sebab mereka adalah pengeluar.

Lihatlah berapa ramai kakitangan awam yang bersara yang bergelar Tan Sri dan Dato diperalatkan dalam syarikat dan anak syarikat mereka. Golongan ini diperalatkan dengan sedikit habuan elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Mereka sanggup menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tender-tender kerajaan atas nama bumiputera. Akhirnya siapakah yang dapat tender-tender tersebut. Saya tidak pasti apakah hukum mereka yang diperalatkan ini untuk mendapatkan tender kerajaan. Selepas itu, golongan hanya boleh berlagak dengan jawatan pengerusi syarikat itu dan ini yang telah disenaraikan dalam bursa saham.

Saya yakin dalam suara hati kecil mereka akan berkata mereka diperalatkan, tetapi disebabkan oleh wang, mereka mudah kelabu mata. Anak bangsa terus merempat, orang lain terus menjadi kaya. Kita sanggup menjadi mandaliar, menggadaikan maruah agama bangsa dan negara. Jika benar-benar mereka mahu berjuang, ‘pak pacak’ ini mesti ada suara dengan jawatan yang dilantik dalam syarikat mereka itu. Selain daripada mendapat sedikit sebanyak saham, yakni untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan terus menikmati elaun dan seterusnya pencen yang diberikan oleh kerajaan setelah bersara. Tidakkah kita merasa berdosa, duduk di syarikat tersebut. Mukapun tidak nampak dalam syarikat tersebut. Hanya nama mereka dipergunakan dan diperalatkan untuk mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak mengatakan kita orang Islam tidak boleh duduk dikerusi pengerusi syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Melayu. Tetapi kita mesti memainkan berperanan. Bukan berlagak dengan jawatan. Fikirkan kepentingan anak bangsa sama. Apa yang boleh dimanfaatkan oleh anak bangsa dengan perlantikan tersebut. Janganlah menjadi mandaliar dan sikitol. Kita akan menyesalkan nanti, percayalah. Ketika itu, kita tidak dapat melihat atau merasainya, tetapi anak cucu kita yang akan sengsara. Apakah kita yakin anak cucu cicit kita akan dijaga oleh syarikat tersebut setelah kita memejam mata? Apakah kita ingat bahawa elaun yang kita perolehi itu boleh mengenyangkan keturunan kita satu generasi? Ingatlah wahai bangsa seagamaku, elaun yang kita perolehi hanya boleh mengenyangkan kita untuk satu hari atau mungkin setahun. Tetapi tender atau kontrak yang kita dapatkan untuk mereka, boleh mengenyangkan mereka satu generasi dan generasi inilah yang akan berhijrah ke luar negara nanti. Percayalah.

Justeru kepada anak bangsa sekelian, kita jangan mudah diperalatkan dengan hanya sedikit habuan di depan mata. Wang tidak akan dibawa ke mana setelah kita mati. Apa yang penting ialah generasi yang akan kita tinggalkan. Mampukah mereka bertahan? Ingatlah kata-kata pejuang-pejuang zaman dahulu, mereka berjuang bukan kerana pangkat, tetapi demi memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara. Sekali lagi saya memetik kata-kata Pendeta Za’ba, bahawasanya keselamatan orang-orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangainya yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu yakni kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberikan mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan itu, tiada pada lainnya.

Jika orang lain ada strategi laut biru atau blue ocean strategy, kenapa tidak kita? Kita juga harus berfikir bagaimana mewujudkan ruang pasaran tanpa perebutan dan menjadikan persaingan tidak relevan (W. Chan Kim dan Renee Mauborgne, 2005). Hari ini kita asyik mahu merebut dan bersaing tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam mesti keluar daripada kelemut air yang penuh dengan segelintir jerung jika ingin berjaya dan tidak tidak diperalatkan oleh jerung tersebut.

Teringat saya berita 14 Mac 2010 bertajuk “Brunei lebih takut laknat Allah” oleh Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Dr Mohd Zain Serudin yang menolak usul ultra kiasu ahli parlimen Goh King Chin, supaya zon jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, “andai ianya diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi pada semua yang berada di negara ini. Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran”.

Saya ucapkan tahniah dan kita perlu mengambil iktibar dari penegasan negarawan ini. Terus terang, inilah pemimpin yang meletakkan rakyat didahulukan, memahami kehendak akar umbi. Tidak mudah tunduk kepada desakan dan tekanan. Hak asasi manusia perlu diketepikan apabila berlaku pertembungan dengan hak-hak Maha Pencipta. Tujuannya tidak lain, untuk melindungi manusia yang tidak berdosa di buminya sendiri. Kita amat bimbang, bila berlaku sesuatu musibah mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa disebabkan oleh tangan-tangan pendosa.

Nukilan dari Ridhuan Tee Abdullah

No comments: