06 November 2007

F1 ‘Monaco Timur’


Perlumbaan waktu malam di litar jalan raya Singapura

BAYANGKAN pelumba Formula Satu (F1) seperti juara dunia Kimi Raikkonen, Lewis Hamilton dan Fernando Alonso berlumba pada waktu malam.


Tentu menarik melihat aksi mereka di litar F1 kerana berlumba pada siang hari berbeza dengan waktu malam disebabkan keadaan persekitaran di tambah litar yang berbeza.

Justeru, perlumbaan F1 waktu malam yang pertama di Singapura pada 28 September tahun depan sesuatu yang menarik untuk ditonton. Penulis berpeluang meninjau litar F1 Singapura ketika melawat negara Singa itu, baru-baru ini.

Peminat lumba kereta dan pelumba sendiri akan menikmati perlumbaan menarik di litar jalan raya sepanjang 5.067 kilometer sekitar kawasan Marina Bay dengan kelajuan kereta lumba melebihi 300 kilometer sejam (km/j).

Dengan latar langit Singapura yang cantik, F1 ini boleh dianggap Monaco Timur dan pasti memberi peminat lumba kereta satu pengalaman baru.

Perlumbaan F1 di Singapura akan menjadikan acara sukan antarabangsa itu sebagai negara pertama di Asia diadakan di litar jalan raya.

Pengarah Media dan Komunikasi GP Singapura, Jonathan Hallett, berkata lokasi litar lumba itu akan memastikan peminat dan pelancong ada di tengah-tengah aksi perlumbaan, tidak jauh dari pusat beli-belah, hiburan dan medan selera.

Beliau yakin, F1 Singapura menjadi perlumbaan terhebat dengan dua keunggulan iaitu perlumbaan pada waktu malam yang pertama dan satu-satunya perlumbaan jalan raya di Asia.

“F1 Singapura juga akan menampilkan sistem lampu canggih menggunakan kepakaran dari Itali untuk menghasilkan cahaya seperti siang hari, selain kemudahan lain di padok dan kawasan strategik di sekitar litar.

“Kerja-kerja pembinaan bangunan perhentian (Pit Building) sepanjang 350 meter sudah bermula dan akan siap menjelang Mei tahun depan.

“Lebih 300 syarikat menyatakan minat untuk membekalkan pakej hospitaliti korporat bagi membolehkan penonton menikmati pengalaman luar biasa selama tiga hari kejohanan itu,” katanya.

Hallett berkata, penjualan tiket perlumbaan untuk orang ramai giat dijalankan, termasuk di luar negara dan dibuka kepada orang ramai pertengahan Disember ini.

“Setakat ini sambutan peminat F1 terhadap perlumbaan di Singapura sungguh memberangsangkan dan kami yakin matlamat untuk mendapatkan 80,000 penonton akan dicapai,” katanya.

Tempat duduk untuk menyaksikan perlumbaan itu di tempat duduk khas dan bilik hospitaliti sepanjang litar bagi membolehkan penonton menikmati pemandangan aksi menarik dan pengalaman seumur hidup.

“Kami juga dalam perancangan untuk menyediakan kemudahan tempat meletak kereta bagi mengelak kesesakan yang mungkin berlaku.

“Bagaimanapun, bagi peminat F1 di Malaysia, mereka boleh menggunakan pengangkutan awam atau transit ringan (MRT) yang menghubungkan ke litar perlumbaan,” katanya.

Ditanya sama ada penutupan beberapa jalan utama yang terbabit dalam F1, termasuk hotel bertaraf lima bintang mengganggu perjalanan operasi perniagaan mereka, Hallett berkata, perkara itu bukan masalah utama.

“Kami sudah berbincang dengan pengurusan hotel terbabit dan mereka memberi sokongan baik, malah akan merancang beberapa aktiviti yang boleh dilaksanakan kepada pengunjung sepanjang kejohanan itu.

“Pelanggan hotel yang terbabit masih boleh keluar sepanjang perlumbaan itu kerana beberapa kawasan disediakan untuk mereka berbuat demikian,” katanya.

Info:

> Panjang litar: 5,067 meter

> Luas litar: 10 m hingga 15 meter

> Jumlah pusingan perlumbaan: 61 pusingan

> Litar F1 Singapura mempunyai 24 selekoh dan perlumbaan akan dilakukan secara berlawanan jam

> Perlumbaan F1 Singapura akan melalui 10 hotel bertaraf lima bintang, termasuk tempat dan bangunan bersejarah Dewan Bandaraya.

> Bangunan perhentian sejauh 500 meter akan digunakan menggunakan kemudahan moden dan sebaik saja kereta lumba dilepaskan, mereka akan mengambil selekoh tajam 45 darjah menghala ke jalan lurus di Raffles Boulevard dan Pusat Persidangan serta Pameran Suntec, yang mana pemandu boleh memecut sehingga 300 km/j

> Selain melalui banyak bangunan bersejarah, perlumbaan F1 Singapura juga akan menggunakan Jambatan Anderson berusia 100 tahun

> Juru runding reka bentuk: Kellogg Brown & Root Pty Ltd

> Tempat duduk penonton akan diletakkan setiap empat kilometer litar

> Masa setiap pusingan: 1 minit 30 saat (jangkaan)

> Jumlah tempat duduk: 80,000

> Arah perlumbaan: Berlawanan jam. Perlumbaan ketiga dalam kalendar F1 2008 selepas Brazil dan Turki

> Lampu: Teknologi yang disediakan membolehkan pemandu berlumba dengan selamat, sama ada di jalan kering atau basah. Krew televisyen juga boleh mendapatkan sudut menarik untuk tontotan umum

No comments:

Cars & Formula 1