16 November 2007

Tazkirah Jumaat: Allah bela umat, agama

DUNIA ini penuh dengan cubaan dan dugaan. Ada saja godaan, kawan, teman, buku, filem atau hiburan yang datang dengan pelbagai tawaran sehingga menggugat keutuhan iman. Lalu jadilah remaja sekejap baik, sekejap tidak baik. Diri kita seolah-olah bermusim, macam musim buah.

Justeru, untuk memiliki, mempertahan dan meningkatkan kualiti iman suatu perkara yang amat berat. Tetapi kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan percaya kepada tawaran Allah serta janji-Nya akan dapat memperkukuh dan memperkuatkan keyakinan untuk terus menjadi baik.

Kepada mereka ini dan sesiapa saja yang sanggup bersungguh-sungguh menghadapi cabaran dan liku hidup, tidak dipersia-siakan Allah.

Allah memberikan janji-Nya kepada orang beriman sebagaimana disebut dalam al-Quran. Janji pula bukan sebarangan dan dapat untung yang besar. Janji ini juga menjadi pendorong untuk meninggalkan kesukaan sementara dan sumber motivasi untuk meraih keuntungan yang lebih panjang dan abadi.

Antara janji itu ialah orang beriman dijanji Allah pembelaan dan pertolongan. Maknanya, orang beriman dan komited dalam beragama, Allah akan menjadi pembela kepadanya. Pembela maknanya penjaga, pemelihara, penghibur dan pemberi kekuatan.

Allah Maha Kaya, jadi umat Islam yang kuat imannya walaupun miskin, apabila dekat dengan Allah Yang Maha Kaya akan berasa kaya dan diberi kekayaan.

Jika kita miskin kadang kala duduk di sebelah orang kaya pun berasa diri kaya, walaupun si kaya itu bersifat kedekut.

Allah Maha Kaya, maknanya Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya miskin dan sebab itulah orang yang dibela Allah, walaupun mereka tiada duit, mereka tidak rela menggadai maruah diri dan akhlak serta peribadi kerana sedikit habuan haram.

Allah akan memberikan mereka kaya hati. Kaya pada sudut inilah sangat berharga. Jika duit banyak tetapi hati miskin, menyebabkan kerosakan juga. Remaja begini akan rosak seperti “ayam mati kelaparan di kapok padi”, sama juga dengan “matinya semut kerana gula.” Apabila hukum Allah tidak dijaga nikmat menjadi bala.

Hari ini umat Islam hadapi pelbagai masalah kerana Allah sudah tidak dijadikan pembela. Macam mana Allah hendak bela, sedangkan kita buat tidak kisah segala suruhan Allah.

Allah akan terus membela hamba-Nya yang membela agamanya. Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman dan Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (QS:22-38)

Janji kedua diperoleh orang beriman ialah jaminan keselamatan iman. Inilah jaminan yang paling mahal, iaitu jaminan iman tidak akan rosak.

Allah akan melindungi mereka daripada perangai buruk dan akhlak rosak. Allah menyelamatkannya daripada godaan syaitan, kekufuran, kemiskinan dan sebagainya.

Dengan janji inilah membuatkan Bilal bin Rabah walaupun diancam, masih selamat imannya. Kita memerlukan jaminan ini. Bukan bermakna kita duduk saja tanpa berbuat apa, sebaliknya mesti tekun belajar, bijak merancang dengan beribadat serta bersungguh-sungguh menghayati agama secara syumul.

Janji ketiga diperoleh mereka yang beriman ialah mendapat petunjuk kehidupan. Kita amat memerlukan petunjuk di dunia yang penuh simpang siur. Kadang-kadang sudah tidak dapat membezakan lagi mana satu madu dan yang mana satu racun.

Lagi parah jika madu sudah tercampur madu, madu pula bersalut racun. Amat sulit hidup untuk memilih kebenaran apabila kebaikan dikatakan kejahatan dan kejahatan pula dikata kebaikan. Hanya jaminan Allah sahaja yang menyelamatkan remaja kini daripada perangkap noda dan dosa.

No comments:

Cars & Formula 1