14 March 2008

Hak istimewa Melayu tetap kekal - Budi bicara Yang di-Pertuan Agong alternatif kepada kehilangan majoriti dua pertiga

SELEPAS keputusan mengejutkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, ramai yang mula tertanya-tanya berkaitan soal Perlembagaan, Parlimen, hubungan antara Kerajaan Pusat-negeri dan hak keistimewaan orang Melayu.

Misalnya, ada yang bertanya apa akan jadi kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, apabila memperoleh cuma 140 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan atau 63 peratus sokongan dalam Dewan Rakyat.

Ini adalah pencapaian paling rendah dalam sejarah BN. Tetapi kehilangan majoriti dua pertiga sebenarnya bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan serupa berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1969. Perikatan (kini BN) hanya menang 49 peratus undi popular dan 66 peratus kerusi di Dewan Rakyat.

Tetapi ketika ini, ia melebihi 50 peratus undi popular dan 63 peratus kerusi. BN mempunyai lebih 28 Ahli Parlimen bagi mengatasi jumlah 112 majoriti mudah dan cuma kurang lapan bagi mendapat majoriti dua pertiga.

Jika mengguna pakai standard dunia, keputusan itu dianggap kemenangan yang hebat dan cukup selesa. Penyandang jawatan Perdana Menteri di United Kingdom (UK), India dan Jepun boleh bertahan dan kekal di jawatan itu, walaupun kemenangan itu lebih berkurangan.

Apa yang membimbangkan ialah kehilangan untuk mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, bermakna pindaan terhadap undang-undang dan bajet mungkin tidak boleh diluluskan.

Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas. Secara psikologinya, kita sudah biasa dengan majoriti yang tinggi dan tiada halangan perundangan, tetapi apabila sesuatu yang ‘biasa dan sihat’ seperti majoriti 63 peratus terjadi, kita melihat akan ada bahaya.

Mengikut Artikel 62 (3) Perlembagaan Persekutuan, semua rang undang-undang biasa memerlukan majoriti mudah mereka yang hadir di Parlimen dan mengundinya. Rang Undang-Undang Kewangan memerlukan majoriti mudah. Undang-undang untuk menangani subversif mengikut Artikel 149 dan perkara berkaitan darurat mengikut Artikel 150 juga memerlukan majoriti mudah.

Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu atau kemudian dan kerajaan boleh bersandarkan kepada kuasa biasa ini dalam keadaan luar biasa seperti itu.

Jumlah cabang perundangan yang banyak ini yang dirangka oleh eksekutif tidak memerlukan kelulusan Parlimen terlebih dulu.

Sekiranya Perlembagaan perlu dirangka semula mengikut Seksyen 10 Jadual 13, ia memerlukan undi ‘tidak kurang separuh daripada jumlah ahli di Dewan Rakyat’. BN mempunyai lebih separuh daripada jumlah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, halangan memang wujud dalam tiga bentuk:

l Pindaan Perlembagaan mengikut Artikel 159 (3), 159 (5) dan 161E memerlukan majoriti dua pertiga dan majoriti itu tidak ada pada BN. Bagaimanapun, perlu diingat, Perikatan dulu pun tidak mempunyai majoriti dua pertiga antara 1971 hingga 1974;

l Mengikut Artikel 2 (b), jika persempadanan negeri (contohnya Selangor dan Sabah pada masa lalu) diubah, pindaan itu akan memerlukan pertimbangan Dewan Undangan Negeri;

l Dalam usaha untuk menyeragamkan undang-undang mengikut Artikel 76, misalnya hasrat Kerajaan Persekutuan untuk meminda undang-undang yang berada dalam kuasa negeri, kemudian tertakluk kepada pengecualian tertentu, maka undang-undang seperti itu mesti diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri.

Amat jelas, Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan akan menyokong langkah itu, tidak boleh diambil ringan.

Selain tiga perkara itu, kita juga boleh menjangka berlaku perdebatan yang hangat apabila tiba waktu perbahasan selepas bacaan kedua terhadap sesuatu rang undang-undang yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan cadangan kerajaan itu akan melalui penelitian yang lebih rapi.

Pembangkang sudah pasti, mahukan suara mereka kedengaran di situ, tetapi akhirnya kerajaan akan mendapat apa yang mereka mahu dan kemudian melaksanakannya.

Bagaimana pula dengan kedudukan Perdana Menteri?. Secara perundangan, mana-mana ahli Dewan Rakyat yang disokong oleh majoriti mudah daripada jumlah keseluruhan ahli, layak menyandang jawatan itu mengikut Artikel 43 (2).

Tiada keperluan bahawa orang ini mesti mewakili parti terbesar atau mana-mana parti sekali pun.

Sebagai contoh, pada suatu ketika dulu, Perdana Menteri India, Indira Gandhi pernah dipecat daripada Parti Kongres pimpinannya. Pada akhir 1980-an, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berparti apabila Umno diisytiharkan haram. Namun, kedua-dua Perdana Menteri itu kekal dengan jawatan disebabkan sokongan di Parlimen.

Bagaimanapun, jika sokongan hilang, yang mengubah suasana politik dan soal perundangan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara untuk memilih orang lain yang mendapat sokongan majoriti.

Berikutan lima negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang selain Kelantan kini dikuasai pembangkang, timbul pula soal berkaitan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Adalah dijangka berlaku ketegangan antara Kerajaan Persekutuan dengan lima negeri yang dikuasai pembangkang itu. Tetapi ini adalah sesuatu yang bukan luar biasa dalam sistem Persekutuan.

Apa yang perlu diingat ialah Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme yang cukup (dalam bentuk Majlis Kewangan Kebangsaan, Majlis Tanah Kebangsaan dan Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan) untuk menyelesaikan konflik itu.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, beberapa sumber hasil pendapatan dijamin masuk ke kantung negeri dan Kerajaan Persekutuan tidak berhak untuk menahan sumber kewangan itu. Sumber itu ialah pemberian ikut kepala mengikut Artikel 109; Peruntukan Jalan raya Negeri mengikut Jadual 10 dan 14, mengenai sumber pendapatan yang disebut mengikut Artikel 110 dan Jadual 9.

Sebagai tambahan, ada Tabung Simpanan Negeri mengikut Artikel 109 (6), Peruntukan bersyarat kepada negeri mengikut Artikel 109 (3) dan pinjaman. Kerajaan Persekutuan mempunyai budi bicara yang luas dalam aspek ini.

Apakah keadaan sekarang juga boleh menggugat kedudukan hak keistimewaan orang Melayu?. Mengikut Artikel 153 Perlembagaan adalah satu perlindungan terbaik dan peruntukan yang kukuh sebagai asas kepada perkara ini. Di samping majoriti dua pertiga, pindaan atau pemansuhannya akan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja. Ia bukanlah sesuatu hujah yang boleh dipermain-mainkan bagi meminda artikel ini.

Dalam hal peruntukan Perlembagaan kepada Kerajaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung dan pertahanan kepada hak keistimewaan orang Melayu. Apa juga perubahan dalam keputusan pilihan raya, hak keistimewaan orang Melayu tidak akan terjejas secara perundangan.

Pada peringkat negeri, semua Perlembagaan di negeri Melayu mengandungi peruntukan yang sama seperti Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Pulau Pinang dan Melaka tidak ada seperti peruntukan mengikut Artikel 153. Tetapi dalam semua perkara di mana kuasa Pusat wujud, dasar tindakan afirmatif akan terus dilaksanakan. Saya tidak percaya Melayu perlu bimbang mengenai perkara ini.

No comments:

Cars & Formula 1