14 March 2008

Kestabilan politik kunci kemakmuran


KENYA dikenali dunia kerana melahirkan pelari jarak sederhana dan jauh yang hebat. Dalam Sukan Olimpik Musim Panas Tahun 1968 dua orang pelari dari Kenya, Kipchoge Keino dan Naftali Temu memeranjatkan dunia kerana memenangi perlumbaan 1,500 meter dan 10,000 meter. Dalam pesta sukan itu juga Amos Biwott memenangi pingat emas acara larian berhalangan (steeplechase), acara yang secara tradisinya dimenangi oleh pelari kulit putih.

Tahun lalu Paul Tergat dari Kenya memenangi Maraton New York. Dalam Maraton Berlin tahun yang sama, tiga pelari Kenya – Philip Manyim, Peter Chebet dan Jackson Koech – memenangi ketiga tempat teratas. Dalam Maraton Boston, pelari Kenya mendapat tempat pertama hingga ke empat, selain keenam dan ketujuh. Pelari Kenya menguasai acara lari berhalangan di Sydney dan Athens. Malah, di Athens, pelari Kenya memenangi emas dan gangsa dalam sukan itu.

Apakah rahsia sebenar kejayaan pelari jarak jauh dan sederhana dari Kenya ini? Bagaimanakah pelari dari negara Timur Afrika ini boleh mencatatkan 91 daripada 100 masa terbaik dalam acara lari berhalangan peringkat dunia? Bagaimanakah negara yang mempunyai penduduk 30 juta orang itu boleh memenangi separuh daripada semua acara larian jauh membabitkan 800 hingga 10,000 meter? Bagaimanakah negara ini boleh melahirkan jumlah pemenang sukan maraton yang paling ramai di dunia?

Rahsianya ialah Great Rift Valley, kawasan pergunungan di bahagian Barat negara itu. Di sini tinggalnya puak Kalenjin yang hidup di kawasan pergunungan yang terletak 2,000 meter di atas paras laut. Hanya ada kira-kira tiga juta suku kaum Kalenjin di Kenya atau satu persepuluh penduduk negara itu, tetapi mereka memenangi tiga daripada lapan acara sukan jarak jauh dan sederhana dunia. Di daerah yang bernama Nandi, di mana tinggal setengah juta manusia, telah muncul pelari yang memenangi satu perlima pingat emas dunia untuk acara jarak jauh.

Hari ini lembah itu tidak lagi setenang dulu. Ada kemungkinan wilayah pergunungan yang melahirkan sedemikian ramai pelari kelas dunia akan menjadi medan sengketa. Kenya negara aman yang dikelilingi oleh negara yang sentiasa berkrisis seperti Hafshah, Somalia dan Uganda kini menghadapi masalahnya tersendiri.

Lembah damai itu kini dibakar oleh kebencian. Puncanya ialah pilihan raya Presiden pada 27 Disember 2007. Apabila pemegang jawatan Presiden Mwai Kibaki diisytiharkan menang, penentangnya Raila Odinga menganggap kemenangan itu tidak sah. Rusuhan berlaku. Isu politik menjadi isu perkauman. Kaum Kikuyu yang diwakili oleh Kibaki bersengketa dengan suku kaum yang menyokong Odinga, yakni Luos dan Kalenjin.

Kita tahu apa yang berlaku apabila negara pelbagai kaum berdepan dengan isu politik, ekonomi atau sosial. Kita sudah merasai musibahnya pada 1969. Kita juga menghadapi pelbagai bahaya keretakan hubungan kaum sepanjang 50 tahun kemerdekaan tanah air. Dalam negara yang politik dan budayanya dicorakkan berdasarkan kelainan kaum dan agama, risiko sengketa kaum tidak dapat dielakkan.

Dalam kes kita, isu pokoknya ialah ekonomi. Orang Melayu yang merupakan bangsa majoriti berasa mereka terpinggir di negara sendiri. Kek ekonomi tidak diagih-agihkan secara adil. Kaum Cina menguasai sepenuhnya ekonomi masa itu. Masyarakat pelbagai kaum dibezakan oleh kegiatan ekonomi yang berbeza. Retak hanya menanti belah. Pilihan raya 1969 menyaksikan isu perkauman digunakan dengan hebatnya – itulah pencetus rusuhan kaum yang terburuk dalam sejarah di negara ini.

Kita semua tahu bahaya jikalau berlaku dispariti pendapatan antara kaum. Pada tahun-tahun 60-an, lebih 70 peratus orang Melayu hidup miskin. Mereka hidup di kampung-kampung tradisional. Sejak penghujung tahun 50-an lagi, kerajaan menyedari masalah kemiskinan di kalangan orang Melayu ini. Rancangan pembangunan tanah yang dikenali sebagai Felda dimulakan bagi membantu orang Melayu yang tidak bertanah dan hidup miskin. Rancangan tanah Felda yang pertama ialah di Air Lanas pada 1957 dengan tanaman getah seluas 1,620 hektar, hari ini Felda menyumbang pada 17 peratus kawasan tanaman kelapa sawit. Felda juga menjadi pengeluar 20.6 peratus minyak sawit negara pada 2001. Pada 1977, 46,000 peneroka berada di tanah rancangan, pada 2000 jumlah itu menjadi 102,750 orang. Hari ini Felda menjadi contoh kejayaan luar biasa usaha membasmi kemiskinan rakyat.

Apa yang lebih penting ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat serampang dua mata - membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Dalam soal membasmi kemiskinan, DEB membuahkan banyak kejayaan. Dispariti pendapatan di antara orang Melayu dengan orang Cina dan India telah diperbaiki begitu juga di antara penduduk bandar dan luar bandar.

Semua ini tidak datang dengan mudah. Usaha untuk memperbaiki keadaan itu mendapat banyak tentangan. Kerajaan Perikatan ketika itu memerlukan bukan saja kesungguhan politik tetapi juga dasar yang betul dan berkesan bagi menanganinya. Banyak orang menganggap DEB akan gagal. Segolongan peniaga Cina berasa DEB akan merugikan mereka. Apa yang nyata ialah DEB tidak merampas dari sesiapa.

Banyak negara di dunia menghadapi masalah untuk menangani isu kemiskinan rakyat misalnya. Di negara paling maju di duniapun, insiden kemiskinan begitu ketara. Di AS, satu peratus rakyatnya memperoleh pendapatan terkumpul melebihi RM4.7 trilion setahun. Jumlah ini melebihi pendapatan terkumpul rakyat Kanada, Itali dan Perancis. Seorang pemilik syarikat perisian memiliki nilai kekayaan yang mengatasi Keluaran Negara Kasar (KNK) semua negara di Afrika tidak termasuk Afrika Selatan. Tetapi kemiskinan di kalangan rakyat masih berleluasa.

Kita harus menangani isu kemiskinan sampai ke akar umbi. Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Umno tahun lalu, Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingat perwakilan bahawa kita tidak patut mewariskan kemiskinan pada generasi yang akan datang. Kita juga tidak boleh mewariskan sengketa dan salah faham di kalangan kaum di negara ini. Juga kekecilan minda, fahaman sempit dan budaya benci membenci kepada generasi akan datang.

Tentulah banyak dasar yang terbukti betul telah kita laksanakan kerana Malaysia yang mencapai kemerdekaan hampir semasa dengan banyak negara lain telah mencapai kejayaan lebih besar. Pendapatan per kapita kita jauh lebih baik daripada banyak negara membangun yang lain. Tetapi yang lebih penting ialah untuk melonjakkan negara pada tahap keupayaan dalam pelbagai industri selain menjadi pengeluar barangan bermutu tinggi. Kita telah juga melahirkan generasi baru pereka, jurutera dan arkitek dalam pelbagai sektor – termasuk yang membabitkan industri canggih. Siapa boleh membayangkan anak Melayu misalnya menguasai teknologi pembuatan kereta dan kejuruteraan pesawat terbang?

Hari ini kita tidak dikenal sebagai pengeluar hasil kelapa sawit atau getah tetapi barangan pembuatan juga. Malah kita negara dagang yang ke 18 terbesar di dunia hari ini.

Memang kita mengakui bukan semua dasar itu berjaya sepenuhnya. Malah memang berlaku masalah ketirisan di mana-mana. Lagi pula tidak ada satu sistem foolproof di dunia ini. Tetapi kita belajar dari kesilapan dan berusaha memperbaiki kelemahan kita.

Kenya adalah negara aman yang rakyatnya hidup rukun damai di tengah haru biru banyak negara Afrika. Pada penghujung tahun lalu, keamanan itu berkocak. Pilihan raya umumnya menjadi pencetus sengketa kaum. Kenya nampaknya akan terus bergolak – entah sampai bila. Semuanya berpunca daripada kegagalan mengekalkan formula kejayaannya selama ini.

Kepada rakyat Malaysia, ingatlah apa yang berlaku pada Kenya dan banyak negara lain di dunia. Tanpa kestabilan politik dan dasar yang betul, keharmonian menjadi amat tipis dan kelangsungan kejayaan ekonomi dan usaha pembangunan akan terjejas.

kompilasi oleh,

Khairulnazri

No comments:

Cars & Formula 1