Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Yusof Othman, berkata kualiti dilihat pada sikap dan gaya hidup malah dalam perniagaan, kunci kejayaan bukan harta tetapi kualiti aspek terbabit.
Mengambil pedoman melalui sirah tauladan Rasulullah s.a.w, katanya kerasulan baginda meminta untuk mengasaskan sistem kehidupan manusia yang ideal.
“Kita dilahirkan bukan kebetulan, tetapi dilahirkan pada zaman ini, berdepan dengan mat rempit dan menangani pelbagai isu.
“Jika tidak berusaha menjadi insan ceria dan cemerlang, kita (sebenarnya) berusaha menjadi insan derita. Jika tidak berusaha menambah ilmu, kita berusaha menjadi jahil.
“Rasulullah datang bukan untuk mengubah pemikiran manusia tetapi sistem peradaban, kepercayaan, perilaku dan cara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu forum bertajuk “Rasulullah Pemimpin Ummah Cemerlang” sempena sambutan Maulidur Rasul di UKM, Bangi, baru-baru ini.
Sementara itu, dalam forum yang sama, bekas imam Masjid Negara, Datuk Kamarudin Zakaria, berkata Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan tersendiri, malah ada daya tarikan diri sebagai tokoh kepimpinan agung.
“Jika kita mempunyai sifat itu, kita akan berjaya. Antara sifat iaitu al-amin (amanah). Bagaimana amanah dengan agama yang ada pada kita, amanah dengan kerja kita dan diri kita?
“Rasulullah amanah sehingga orang Quraisy, bukit bukau tidak sanggup menerima amanah (al-Quran) tetapi manusia sanggup. Ini kehebatan manusia.
“Sifat sabar juga penting. Al-Quran menegaskan, bertolong-tolonglah kamu dengan kesabaran.
“Kemudian, akhlak, sebagaimana hadis berbunyi, sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak. Ketiga-tiga sifat ini jika ada pada diri kita nescaya berjaya,” katanya.
Beliau berkata, dalam satu riwayat, selain ummati, ummati, ummati (umatku, umatku, umatku), Rasulullah s.a.w ada menyebut dua perkara lagi, iaitu as-solah, as-solah, as-solah (solat, solat, solat) dan an-nisa, an-nisa, an-nisa (perempuan, perempuan, perempuan).
“Baginda menyebut ummati, kerana umat ini adalah umat terbaik dan untuk mengingatkan umat baginda yang mereka adalah yang terbaik, jadi kenalah berjaga-jaga.
“Kemudian baginda menyebut solat dan agama ditentukan dengan solat. Tidak perlu bertanya orang lain, tanya orang yang dekat dengan kita , seperti anak dan isteri, sudah pasti sukar dia hendak menjawab 17 rakaat sehari semalam.
“Kemudian an-nisa iaitu perempuan. Wanita hari ini? Sesetengah ke pusat beli-belah tidak menutup aurat, terdedah, sehingga pusat yang membeli-belah.
“Sebab itu disebut mereka yang dapat menjaga anak perempuan dielakkan azab Allah,” katanya.
khairulnazri.blogspot.com
No comments:
Post a Comment