17 May 2008

Mengungkap Konsep Toleransi Masyarakat Malaysia

MASYARAKAT Malaysia dikenali dengan masyarakat yang berbilang bangsa, pelbagai budaya di samping agama yang berbeza-beza tetapi dapat menikmati kerukunan dan kesejahteraan berdasarkan kepada prinsip tolak ansur dan toleransi sebagai kunci perpaduan.

Secara teknikalnya, toleransi bermaksud sikap sabar dan bertolak ansur atau berlebih kurang; sikap dapat menerima atau menghormati pendapat, fikiran dan kepercayaan orang lain malah terminologi ini telah memang sinonim dengan cara hidup rakyat Malaysia yang majmuk dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan agama.

Persoalannya, apakah penghayatan toleransi itu masih benar-benar dipraktikan dalam kehidupan seharian dan sejauh mana toleransi tersebut berjaya dizahirkan dalam konteks kenegaraan sebagai warga Malaysia.

Perlu difahami bahawa tolensari ini telah wujud sebelum merdeka lagi apabila kerjasama dijalin dengan lancar antara semua kaum di Tanah Melayu.

Begitu juga apabila persetujuan untuk mendapatkan kemerdekaan dibuat apbila tiga bangsa dominan di Tanah Melayu sekali lagi mengamalkan konsep toleransi dan bertolak ansur bagi membuktikan kerukunan dalam negara.

Pada masa tersebut, orang-orang melayu perlu bersetuju untuk memberi kerakyatan kepada bangsa Cina dan India dengan formula ‘jus soli’ dan pada masa yang sama mereka pula perlu menerima hak-hak istimewa Melayu sebagai bumiputera, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam pula sebagai agama rasmi.

Dikatakan pada masa tersebut, bangsa Cina dan India tidak begitu berminat untuk mendapatkan taraf kerakyatan dan tidak kisah dengan hak orang Melayu asalkan mereka boleh berniaga dengan jayanya.

Ketika itu, kerajaan British telah menetapkan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu hanya akan diberikan jika kerakyatan dibuka kepada bangsa Cina dan India.

British berpendapat Tanah Melayu tidak akan maju dan berdaya saing jika kemerdekaan telah diberi dan dibentuk oleh komposisi tiga kaum besar, Melayu, Cina dan India yang telah menjalani dasar pecah dan perintah.

Malah kerajaan British pada masa itu juga enggan memberikan kemerdekaan dan mereka mengandaikan bahawa kerukunan antara kaum tidak akan berjaya dilakukan.

Namun taktik British untuk terus menjajah Tanah Melayu gagal malah anggapan mereka bahawa toleransi dikalangan masyarakat juga tidak akan terlaksana disanggah.

Namun begitu, setelah 53 tahun kemerdekaan dikecapi, suara-suara yang mempersoalkan hak orang Melayu semakin lantang diperkatakan sedangkan jika diteliti apa yang dikatakan hak orang Melayu itu adalah hak yang diwarisi oleh bangsa Melayu dalam sejarahnya sejak ratusan tahun dahulu, sebelum kedatangan bangsa-bangsa lain di rantau Melayu ini.

Malahan rantau ini juga dikenali sebagai Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago.

Sebenarnya, berlandaskan konsep toleransi ini perkara berkaitan hak dan keistimewaan orang Melayu bukanlah perkara pokok yang perlu dibincangkan kerana telah nyata bahawa masyarakat Malaysia dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera dan kemajuan dikecapi bersama.

Sepanjang lebih 50 tahun merdeka, Malaysia berada dalam pemerintahan sendiri, selepas lebih 400 tahun dijajah hanya berlandaskan konsep toleransi yang diamalkan antara kaum.

Malaysia dibentuk melalui perjuangan yang bukan secara kekerasan tetapi menggunakan konsep toleransi antara kaum.

Memang benar kemerdekaan negara diperoleh secara perundingan dan tidak mendapat perhatian meluas seperti yang pernah dilakukan oleh Mahatma Ghandi di India atau Sukarno di Indonesia, namun Malaysia telah menyempurnakan tugasnya dengan menakjubkan; sudah cukup banyak boleh mengajar dunia tentang ekonomi dan penyusunan semula masyarakat berbilang kaum, etnik, agama, bangsa dan budaya.

Sewaktu merdeka, Malaysia dianggap sebagai salah sebuah negara yang paling miskin di dunia sama dengan negara Haiti, Honduras, Mesir dan di ketinggalan di belakang Ghana.

Namun berlandaskan perkongsian kuasa dan toleransi antara kaum, kini, pendapatan dan ekonomi Malaysia 7.8 kali ganda lebih besar dari Ghana, lebih lima kali ganda berbanding Honduras dan lebih 2.5 kali besar daripada Mesir.

Ingatlah, keharmonian dan kestabilan yang dikecapi selama ini tidak datang bergolek.

Jika peluang ini tidak dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, berkemungkinan keharmonian yang dinikmati ini, akan hilang selama-lamanya.

Sekarang kita ingin berjuang untuk membina ‘keajaiban Malaysia’ bagi mencapai Wawasan 2020 dan untuk tempoh 50 tahun akan datang sehingga tahun 2057.

Persoalannya, apakah konsep toleransi ini perlu dikorbankan setelah kita kecapi nikmatnya?


kompilasi,
khairulnazri.blogspot.com


No comments:

Cars & Formula 1