26 May 2008

Sumbangan Rokok Kepada Dunia


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan penggunaan tembakau mungkin menyebabkan lebih satu bilion kematian sepanjang abad ini, dengan China dan India masing-masing menganggarkan hampir satu juta rakyat mereka maut akibat tembakau setiap tahun. Abad ke-20 telah mencatatkan 100 juta kematian akibat tembakau dan dijangka meningkat 10 kali ganda abad ini jika tindakan berkesan tidak diambil dengan segera.

Mengikut jangkaan WHO, kematian berkaitan tembakau mungkin meningkat kepada lapan juta orang setiap tahun menjelang 2030, 80 peratus daripadanya di negara membangun. Satu laporan WHO juga mengenalpasti peningkatan bilangan perokok kini paling banyak berlaku di negara berpendapatan rendah yang dikaitkan dengan peningkatan bilangan penduduk.

Di India, hasil penyelidikan yang menunjukkan satu daripada 10 kematian di negara itu akan berpunca daripada penggunaan tembakau menjelang 2010. Kumpulan penyelidikan berkenaan menjelaskan perokok bukan sahaja akan maut akibat kanser dan masalah paru-paru malahan juga akibat tuberkulosis (tibi) dan penyakit jantung.

Antara kaedah yang telah disarankan untuk mengawal tabiat merokok termasuk polisi mencegah (daripada mula merokok), melindungi orang ramai daripada asap rokok (perokok pasif), menawarkan bantuan untuk perokok berhenti merokok dan penguatkuasaan terhadap larangan iklan rokok serta meningkatkan cukai terhadap rokok. Kos penggunaan tembakau di seluruh dunia pula dikatakan mencecah beratus bilion dollar setiap tahun dengan AS sahaja mencatatkan anggaran kerugian ekonomi AS$92 bilion (RM295.14 bilion) setiap tahun.

WHO baru-baru ini turut mengumumkan rancangan untuk satu perjanjian antarabangsa baru dalam menentang perdagangan tembakau secara haram menjelang 2010. Perdagangan tembakau secara haram dianggarkan merangkumi 10 peratus jualan tahunan tembakau dunia yang menyebabkan kerugian antara AS$40 hingga AS$50 bilion (RM128.33 hingga RM160.40 bilion) setiap tahun. Tindakan terhadap perdagangan haram tembakau dilihat amat penting bagi melindungi generasi muda daripada mula dan ketagih merokok berikutan harga rokok seludup yang jauh lebih murah.


kompilasi,

khairulnazri.blogspot.com




No comments:

Cars & Formula 1