23 August 2008

Membaca al-Quran ubat menenangkan hati

AL-QURAN adalah kitab suci diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai satu rahmat yang tiada bandingnya bagi seluruh alam. Penurunannya adalah semata-mata untuk dijadikan petunjuk, pedoman dan pengajaran bagi semua umat manusia di dunia ini.

Allah berfirman yang bermaksud: "Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia." � (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan Allah. Oleh itu, kandungannya merangkumi segala dasar syariat yang ada dalam kitab suci diturunkan sebelumnya. Mereka yang beriman dengan al-Quran akan membaca, memahami, beramal serta mengajarnya kepada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar (membaca) al-Quran dan mengajarnya." � (Hadis riwayat al-Bukhari)

Membaca al-Quran adalah amalan mulia. Sesiapa yang membacanya akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf." - (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Oleh itu, jelaslah al-Quran adalah sebaik-baik bacaan bagi mereka yang beriman, sama ada ketika senang atau susah. Selain diberi ganjaran, membaca al-Quran juga menjadi ubat atau penawar bagi mereka yang jiwanya tidak tenteram.

Berkaitan hal ini, seorang lelaki menemui Ibn Mas'ud meminta nasihat untuk dijadikan penawar bagi mengubati jiwanya yang sedang resah-gelisah, fikiran tidak tenteram, tiada selera makan dan sukar tidur.

Ibn Mas'ud menyatakan bahawa untuk mengubatinya lelaki itu perlu melakukan tiga perkara iaitu; pertama, membaca al-Quran atau menghadiri tempat orang membaca al-Quran serta mendengar baik-baik bacaan ayat suci al-Quran.

Kedua, menghadiri majlis ilmu yang boleh mengingatkan hati kepada Allah dan ketiga, memohon ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran serta kemurnian hati. Andai jiwa masih juga tidak terubat dengan cara itu, mintalah daripada Allah supaya diberi hati lain, kerana hati dimiliki bukan hatinya.

Lelaki berkenaan mengamalkan perkara yang dinasihatkan Ibn Mas'ud. Dia pergi mengambil wuduk kemudian membaca al-Quran dengan penuh khusyuk. Selepas sempurna membaca al-Quran, jiwanya terasa begitu tenang dan tenteram, manakala kegelisahannya hilang sama sekali.

Perlu dijelaskan, membaca al-Quran sama ada memahami maknanya atau tidak adalah ibadat, amalan salih dan memberi rahmat serta manfaat bagi mereka yang melakukannya. Di samping itu, ia juga memberi cahaya yang menyinari hati, keluarga dan tempat al-Quran itu dibaca.

Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran." - (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Membaca al-Quran tidak sama dengan membaca buku, majalah atau komik kerana al-Quran adalah wahyu Allah. Jadi, membacanya sudah tentu mempunyai adab tersendiri yang mesti diikuti supaya bacaan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sama ada untuk dirinya sendiri atau pendengar.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' 'Ulumuddin memberi garis panduan berkaitan adab membaca al-Quran, iaitu adab batin dan zahir. Dimaksudkan adab batin ialah memahami ayat dibaca, ada rasa penghayatan membesarkan kalam Allah, menghadirkan hati, memperhalusi perasaan dan jiwa.

Dengan adab batin ini, kandungan al-Quran yang dibaca dengan perantaraan lidah dapat bersemi dalam jiwa dan meresap ke dalam lubuk hati si pembaca.

Adab zahir pula banyak dan perlu dipatuhi antaranya membaca al-Quran hendaklah dalam keadaan bersih dan berwuduk, sebaik-baiknya hendaklah dipegang dengan kedua-dua belah tangan dan membaca di tempat bersih seperti di rumah atau masjid.

Bagi mereka yang berupaya memahami makna dan maksud ayat dibaca, hendaklah membacanya dengan penuh perhatian dan penghayatan. Lidahnya menuturkan bacaan kalam Allah, hatinya turut memerhatikan dan memikirkan erti terkandung dalam ayat dibaca.

Allah menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Maka apakah mereka tidak memperhatikan al-Quran? Jika al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya." (Surah al-Nisa', ayat 82)

Mereka yang dapat memahami kandungan al-Quran, akan berupaya melaksanakan segala ajaran terkandung dalam ayat dibaca. Ketika membaca ayat tasbih maka lidahnya akan memuji Allah. Apabila membaca ayat doa dan istighfar, pembaca akan berdoa dan memohon keampunan Allah.

Membaca al-Quran, sama ada dilakukan oleh orang yang memahami maknanya atau tidak, tetap akan menerima ganjaran pahala daripada Allah. Semuanya itu tetap dianggap sebagai ibadat. Namun, balasan atau ganjaran yang diberi berbeza, bergantung ciri atau adab membacanya.

Pahala orang yang berupaya memahami makna tersirat dalam kalam Allah, menghayati dan berupaya mengambil iktibar, serta patuh pada adab ditetapkan tidak sama dengan pahala mereka yang membacanya tanpa memahami makna dan tidak mematuhi adab.

Namun, dalam apa juga keadaan sekalipun, kesan terhadap pembentukan peribadi orang yang membaca dengan pemahaman makna dan dapat mengambil iktibar daripada ayat yang dibaca tentunya berbeza dengan orang yang membaca al-Quran tanpa penghayatan dan memahami makna.

kompilasi,
khairulnazri.blogspot.com

No comments: