23 September 2008

Blue Grotta yang Mengasyikkan


Marina Grande dilihat dari Anacapri.

Gua Biru di Pulau Capri diklasifikasikan sebagai gua batu kapur laut semula jadi paling unik di Itali

KEINDAHAN Pulau Capri pasti membuatkan pengunjungnya rasa teruja terutama ketika berada di Grotta Azzura, yang lebih dikenali oleh pelancong sebagai Blue Grotto atau Gua Biru yang terkenal di Itali.

Untuk ke destinasi penuh keunikan ini, pengunjung akan menaiki jetfoil dari Sorrento yang mengambil masa perjalanan kira-kira sejam. Pulau ini juga boleh dihubungkan melalui Naples.


Dari Sorrento, pengunjung akan ke Marina Grande iaitu pintu masuk utama ke Pulau Capri. Marina Grande adalah sebuah bandar pelabuhan yang sentiasa sibuk dengan kapal dan feri berulang-alik ke tanah besar Itali. Dari Marina Grande tumpuan seterusnya ialah Anacapri yang juga pusat perniagaan dan pentadbiran di pulau ini. Setelah meninjau dan berjalan-jalan di sekitar Anacapri termasuk di Piazza Umberto, penulis dan sekumpulan rakan bertolak ke Gua Biru sebelum matahari terbenam.

Gua Biru diklasifikasikan sebagai gua batu kapur laut semula jadi. Terminal ke lokasi itu boleh dihubungkan melalui jalan darat dari stesen bas di Piaza Vittoria Anacapri. Namun, perjalanan dengan bot dari Marina Grande memberi peluang pengunjung menikmati panorama indah di pulau ini. Jaraknya hanya empat kilometer di barat daya Marina Grande.

Ketika penulis tiba, keadaan laut agak tenang. Difahamkan dalam keadaan cuaca buruk atau laut bergelora, perkhidmatan bot ke destinasi berkenaan akan dihentikan sebagai langkah keselamatan. Oleh kerana jumlah pengunjung agak ramai, mereka terpaksa bersabar menunggu giliran sewaktu di jeti Marina Grande

Pemandangan indah Pulau Capri.

Dari Marina Grande, perjalanan dengan bot mengambil masa kurang daripada 15 minit. Namun, setelah sampai di kawasan berdekatan sebelum memasuki Gua Biru, pengunjung dipindahkan ke sampan-sampan kecil yang hanya boleh memuatkan dua atau tiga orang saja. Sekali lagi pengunjung terpaksa menunggu giliran di sekitar muka gua ini sebelum dibenarkan masuk.

Pintu untuk memasuki gua ini agak sempit. Pengunjung dengan sampan muatan dua atau tiga penumpang terpaksa membongkok atau berbaring bagi melepasi mulut gua ini. Pemandangan di dalamnya amat mempesonakan lagi mengasyikkan. Kebiruan air di dalamnya memang jelas kelihatan. Dengan kawasan dalaman sepanjang kira-kira 60 meter dan lebar kira-kira 25 meter memberi cukup ruang dan kesempatan untuk pengunjung meneroka setiap sudut di dalam Gua Biru ini.

Pengalaman mendayung dan menyusuri Gua Biru ini memberi pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Setiap kocakan dayung mencecah air menerbitkan bunyi yang sungguh unik. Begitu juga gema suara yang diucapkan memberikan pengalaman yang sungguh luar biasa. Terdapat beberapa lagi gua kecil di dalamnya yang boleh disusuri.

Sinaran cahaya matahari yang menyelinap masuk dari celah-celah batu di gua ini mencerahkan sedikit kawasan yang sebahagian besarnya gelap. Dengan pemandangan yang indah, udara dan cuaca yang sungguh segar dan nyaman, pengalaman meneroka Gua Biru pasti meninggalkan kenangan indah yang abadi. Bagaimanapun, pengunjung dinasihatkan berhati-hati sewaktu mendayung dan sentiasa mematuhi arahan juru pandu.


Dibuka mulai jam 9 pagi, pengunjung terakhir perlu menamatkan aktiviti mereka meneroka Gua Biru ini selewat-lewatnya hingga jam 5 petang.

Sekitar kawasan ini juga turut menjadi lokasi penggemar aktiviti terjun skuba. Kami bertemu dengan sekumpulan ahli penerjun skuba lengkap dengan peralatan masing-masing. Tidak hairanlah lokasi ini menjadi pilihan kerana ia sememangnya menyajikan suatu panorama alam yang sungguh menarik lagi menakjubkan termasuk khazanah terumbu karang dan kejernihan air lautnya.

Gua Biru ini dikatakan mempunyai legendanya sendiri. Ia pernah diabaikan sekian lama meskipun suatu ketika Maharaja Empayar Rom (Maharaja Tiberius) pernah menjadikannya sebagai tempat mandi. Penduduk dan nelayan tempatan ketika itu menganggapnya sebagai berpuaka dan takut untuk menghampirinya.

Ia diperkenalkan semula oleh seorang pelukis berbangsa Jerman, August Kopisch dan seorang nelayan tempatan, Angelo Ferraro pada 1826. Sejak itu Gua Biru ini menjadi terkenal dan terus dikunjungi oleh berjuta-juta pelawat dari seluruh dunia.

INFO

Gua Biru


  • Fenomena kebiruan terjadi disebabkan pancaran cahaya matahari masuk menerusi celah lubang di bawah air. Cahaya diserap oleh air dan menghasilkan warna biru pada permukaannya.

  • Fenomena cahaya matahari menerjah dasar laut Gua Biru menyebabkan objek di dasar gua ini kelihatan berwarna seperti perak.

  • Rantai dipasang di pintu gua ini bagi membantu dan memudahkan pengunjung memasuki pintu gua yang sempit.

  • Lokasi ini sering menjadi pilihan dan dilawati oleh pemimpin dan selebriti terkemuka dari seluruh dunia.

  • Maharaja Maharaja Tiberius menjadikan gua ini sebagai tempat mandi

  • Seorang pelukis berbangsa Jerman, August Kopisch dan seorang nelayan tempatan, Angelo Ferraro memperkenalkan gua ini kepada pengunjung pada 1826

  • [sumber : Berita Harian]

    1 comment:

    malay-machista said...

    salam nazri,
    subhanALLAH, terpegun membaca dan akhirnya menatap gambaran sebenar kepulauan Capri. saudara pernah ke sana ye? you should be very grateful for the opportunity.
    i'd long heard about this capri, namely from a short story "the lotus eater". but words can't really picture the real thing!
    memang cantik betul la tempat tuh!

    Cars & Formula 1