23 September 2008

Sedekah didik manusia lebih peka





Ramadan bulan terbaik mendidik spiritual, memahami kesusahan dan penderitaan orang lain

BERBUDI sepanjang Ramadan besar fadilatnya. Allah mengurniakan sehingga 70 gandaan pahala bagi setiap amal kebaikan yang dilakukan pada bulan berkenaan. Begitupun, beramal tanpa memahami samalah seperti mengembara di hutan belantara tanpa dibekalkan kompas.

Ini kiasan yang cuba disampaikan sukarelawan dan penceramah bebas Perkim Wilayah Persekutuan, Aisyah Jamian apabila mengibaratkan Ramadan sebagai kem motivasi yang perlu difahami dan dihayati konsepnya.


“Bagi saya, Ramadan umpama kem motivasi yang diuruskan oleh Allah SWT sendiri. Selaku peserta motivasi, segala program yang diatur harus dimanfaatkan sebaiknya. Iktibar dan ilmu yang diperoleh sewaktu motivasi sepatutnya dijadikan pedoman sepanjang hidup, bukan terbatas ketika kita menghadiri program itu saja,” katanya.

Diterjemah melalui perbuatan, kata Aisyah, Ramadan bulan terbaik mendidik spiritual supaya manusia lebih peka dengan kesusahan dan penderitaan orang lain selanjutnya sama-sama mencari jalan meringankan beban.

“Rahmat yang disebarkan berupaya membebaskan penderitaan. Namun, lebih baik dipastikan bantuan diberi benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan supaya matlamat membuat kebajikan tercapai,” katanya.

Anak yatim serta fakir miskin di daerah Selangor mendapat sumbangan barangan makanan pada majlis berbuka puasa di Palm Garden IOI Resort, Putrajaya.

Ini kerana sering berlaku bantuan cuma disalurkan kepada mereka yang sudah biasa menerimanya. Walaupun, yang dibantu anak yatim namun sumbangan diberikan nyata tidak menyeluruh.

“Disebabkan tidak mahu bersusah sedikit, setiap kali ingin membantu, kita mengambil jalan mudah dengan bersedekah kepada rumah anak-anak yatim sedia dikenali. Walhal, banyak lagi rumah anak yatim yang terlepas pandang. Mungkin disebabkan malu untuk ke hadapan, anak-anak yatim ini lebih suka menjauhkan diri dari masyarakat.

“Justeru, apa salahnya kita peruntukkan sedikit masa dan usaha mencari anak yatim yang benar-benar daif serta memerlukan bantuan. Selain mampu menggembirakan mereka, secara tidak langsung kita bersikap lebih teliti dan berhati-hati dalam mengagihkan kekayaan yang kita ada,” katanya.

Inisiatif seperti ini katanya, selain mendidik jiwa lebih kreatif juga menunjukkan pegangan yang kuat terhadap konsep al-Quran.

Aisyah berkata, kerja kebajikan sangat fleksibel. Mengamalkannya bererti kita ada kemahuan yang kuat mencontohi sifat Allah seperti pemurah dan kreatif. Namun, Aisyah menasihatkan tidak terlalu memfokuskan kepada memperoleh ganjaran pahala semata-mata hingga lupa tanggungjawab.

“Dalam asyik membuat kebajikan, tanggungjawab jangan diabaikan. Membantu bukan sekadar bersedekah malah membersihkan rumah ibadat dan menjaga hati jiran juga dianggap satu tanggungjawab.

“Seperti juga sepasang mata anugerah Tuhan bukan bertujuan menatap penderitaan orang lain semata-mata sebaliknya mencari jalan untuk mereka menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.

Bagi memulakan perkara yang baik, golongan muda tidak perlu menunggu mereka lebih tua. Begitu juga golongan tua tidak patut mengharapkan warga muda. Sebaliknya, keikhlasan dijadikan landasan mencapai matlamat, pendorong semangat ingin membantu, membentuk kesedaran serta sahsiah diri yang baik.

Selain itu, persekitaran bagi Aisyah penting dalam menyokong tindakan sekali gus memastikan amal jariah sampai ke golongan sasar.

“Saya beri contoh dua kereta berbeza status bergerak di jalan raya yang sama. Meskipun, sebuah kereta mewah dan sebuah lagi kereta lama, namun tanpa persekitaran selesa seperti berhadapan dengan kesesakan serta jalan sempit, berlekuk dan sebagainya, dapatkah dijamin kereta mewah yang dipandu bergerak lancar dan pantas?” katanya.

Justeru, katanya, persekitaran positif harus diusahakan supaya matlamat meningkatkan kualiti hidup dan masyarakat yang dibantu mencapai objektifnya.


[sumber : Berita Harian]



No comments: