25 September 2008

Christchurch - Bandar Seindah Taman Syurga




Kota tradisi Inggeris dihiasi 740 taman yang direntasi Sungai Avon

Christchurch adalah bandar kedua terbesar di New Zealand yang dikenali sebagai bandar dalam taman dan kaya dengan keindahan alam semula jadinya.

Sejarah Maori menyebut Christchurch mula dihuni sejak 1000 Sebelum Masehi (SM). Selain pendatang Eropah yang tiba di kepulauan itu pada Disember 1850, sebenarnya kawasan ini dihuni puak Ngati Mamoe, Ngai Tahu dan Waitaha yang berhijrah dari Pulau Utara pada abad ke 16.


Hari ini bandar yang tenang dalam penampilannya tetapi kelam kabut dari segi cuacanya, dihuni oleh pelbagai bangsa. Selain penduduk berketurunan Eropah, Christchurch juga dihuni oleh orang Maori dan Asia dengan keseluruhan populasi berjumlah 344,100 orang.

Dari segi geografi, Christchurch atau dalam bahasa Maori disebut sebagai Otautahi berhadapan dengan Lautan Pasifik. Ia terletak di hujung sebelah selatan Teluk Pegasus, iaitu antara Banks Peninsula dan Canterbury Plains. Christchurch juga kerap dirujuk sebagai pintu masuk ke Pulau Selatan.

Sesuatu yang paling jelas, jika menjejak kaki ke Christchurch, anda akan dapati sentuhan keinggerisan tradisional yang sangat kuat pada seni binanya. Katedral dan kebanyakan bangunan lama di sini dibina dengan sentuhan seni bina neo-gothik. Malah, nama Christchurch itu sendiri bersempena sebuah kolej di Universiti Oxford.

Pemandangan hijau Banks Peninsula dari Port Hills.

Andai anda mahu melihat landskap Christchurch, anda boleh berkunjung ke Katedral Christchurch. Landskap bandar yang dihiasi 740 taman yang direntasi Sungai Avon, pasti memukau pandangan anda.

Taman-taman di Christchurch dibina dengan penuh kreatif dan kerap mendapat pengiktirafan antarabangsa. Ia sering menjadi lokasi pelbagai festival dan karnival seperti Festival of Romance, Festival Busker Antarabangsa, Pesta Cahaya Lyttelton, Pertunjukan Bunga Antarabangsa Ellerslie dan Karnival Musim Sejuk.

Bersiar-siar di Christchurch amat menarik jika anda menggunakan perkhidmatan trem atau bas pengantara. Dengan harga tambang dikenakan NZ$14.00 (RM32.60) seorang, perjalanan anda hanya mengambil masa 25 minit menggunakan laluan sepanjang 2.5 kilometer. Anda akan dibawa meninjau Cathedral Square, Pusat Seni, Taman Botani, Sungai Avon dan Cathedral Junction.

Tarikan di Christchurch tidak terhenti di bandar saja kerana anda boleh menikmati keindahan alam semula jadi dan tinggalan aktiviti gunung berapi berjuta tahun lalu di Port Hills. Banjaran gunung yang terletak di selatan Christchurch, adalah sebahagian dari Banks Peninsula yang ketinggiannya antara 350 hingga 500 meter dari aras laut.

Katedral mengekalkan seni bina neo-gotik.

Port Hills terbentuk dari lebihan hakisan letupan gunung berapi, sekitar 6 hingga 12 juta tahun lalu. Justeru, landskapnya yang bergunung ganang dan berlembah menjadikan ia pusat rekreasi utama di Christchurch. Di kawasan ini juga terdapat 39 hutan simpan yang mana 31 daripadanya dikendalikan oleh Majlis Bandar Christchurch.

Selain Ports Hills, kawah hakisan gunung berapi yang juga menjadi sebahagian daya tarikan landskap Christchurch adalah Lyttelton dan Pelabuhan Akaroa yang kini sudah pun ditenggelami air.

Soal makanan halal tidak susah di sini kerana Christchurch adalah lokasi pertemuan pelbagai bangsa dan kebudayaan. Apa yang penting, anda mesti ringan mulut bertanya dan menyemak risalah pelancongan yang boleh peroleh sebaik saja mendarat di lapangan terbang.

Jika anda ingin membeli belah cenderamata untuk dibawa pulang, lokasi utama bertumpu di High Street, Castle Street, Bridge Street, Church Street, Wick Lane, Saxon Square Shopping Centre dan Bargates. Di kawasan terbabit anda boleh memilih pelbagai pakaian rekaan pereka tempatan selain cenderamata, coklat dan buku.

Untuk mendapatkan barangan lebih murah dan boleh tawar menawar, pasar setiap Jumaat di Saxon Square boleh dikunjungi. Selain buah-buahan dan sayur-sayuran organik di sini, anda boleh membeli keju buatan New Zealand selain kraftangan tempatan.

Bagaimana ke sana?

  • Malaysia Airlines menawarkan perkhidmatan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Auckland dan dari Auckland, anda boleh menyambung penerbangan ke Christchurch dengan Air New Zealand.

  • Untuk penerbangan terus selama 10 jam dari Kuala Lumpur ke Christchurch anda boleh memilih Singapore Airlines. * Jarak antara Auckland dan Christchurch ialah sejauh 762 kilometer dan ia memakan masa 16 jam, 43 minit jika anda memandu atau menaiki kereta.

  • Sydney, Melbourne atau Brisbane turut menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Auckland sebelum anda menyambung penerbangan ke Christchurch yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam.

    INFO

    Christchurch


  • Dihuni sejak 1000 Sebelum Masehi (SM)

  • Populasi berjumlah 344,100 orang membabitkan keturunan Eropah, Maori dan Asia

  • Kebanyakan seni bina lama di Christchurch mendapat sentuhan neo-gothik

  • Nama Christchurch diambil daripada salah satu kolej di Universiti Oxford

  • Dirujuk sebagai bandar dalam taman, Christchurch memiliki 740 taman di seluruh wilayahnya.

  • [sumber : Berita Harian]

    No comments:

    Cars & Formula 1