Apa yang Anda buat akan dibalas dengan tindakan setimpal. Kita senangkan orang, orang senangkan kita balik.
Kita susahkan orang, orang susahkan kita balik. Bahkan, susah kita akan jadi dua kali ganda lebih susah dari susah yang sebelumnya.
Anda, saya dan kita semua hidup dalam komuniti bermasyarakat.
Kita takkan dapat mencapai sesuatu kejayaan tanpa memerlukan pertolongan mereka. Walaupun kita boleh berkata kita berjaya hasil usaha sendiri, hakikatnya masih ada orang lain terlibat dalam usaha kita. Mereka mungkin merupakan ibu, bapa, abang, adik atau mana-mana ahli keluarga.
Untuk hidup kita jadi ceria, gembira lalu penuh dengan pelbagai macam kegembiraan, senangkan hati orang lain terlebih dahulu. Senangkan hati mereka, gembirakan mereka tanpa mengharap ganjaran.
Selagi Anda kekalkan sikap begitu, selagi itulah hidup Anda lancar saja, kurang dari segala macam permasalahan. Anggap perbuatan itu sebagai ‘tanam saham’. Satu masa nanti, Anda akan dapat pulangannya.
Doa orang yang kita selalu senangkan hatinya amat mujarab. Getaran tenaga positif yang datang dari mindanya akan membuat hidup Anda penuh dengan keceriaan yang seterusnya menyumbang pada kecemerlangan berpanjangan.
Sebaliknya, jika Anda susahkan orang, doa orang yang Anda susahkan tu dua kali ganda amat mujarab, kerana dia teraniaya oleh perbuatan Anda. Allah swt cepat memakbulkan doa orang yang teraniaya. Getaran emosi negatif dari mindanya akan mempengaruhi hidup Anda lalu menjadikan hidup Anda haru biru, tak keruan jadinya.
Mulai hari ini, untuk Anda kekal cemerlang, kekal bersemangat jangan pernah lupakan orang disekeliling Anda. Gembirakan hati mereka, senangkan hati mereka seadanya, jangan sampai mereka pula sakit hati dengan Anda kerana kesannya amat bahaya! Ia menurunkan tahap motivasi Anda dengan cepat.
Sumber : IMotivasi
Komen blogger,
1. Melihatkan senario politik semasa, secara peribadi saya berpendapat bahawa sebarang tindakan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin politik berkenaan tidak memikirkan kesan yang akan datang. Setiap kenyataan lebih merupakan suatu tindakan untuk mempopularkan samada untuk diri sendiri, sokongan parti dan tidak menjuruskan kepada kebajikan atau keperluan rakyat jelata.
2. Sikap yang tidak gentlemen ini boleh kita nampak kesannya di Perak dimana MB dan exco yang baru dilantik oleh Sultan telah digantung dari menyertai DUN selama beberapa bulan oleh Speaker Majlis yang tampak condong kepada kehendak ADUN minoriti yang dikuasai oleh DAP.
3. Permainan ini saya pasti akan terus berlarutan sehingga satu pihak berpuas hati setelah kehendak nafsunya telah dipenuhi dan selagi itulah kita sebagai rakyat akan melihat kenyataan-kenyataan, tindakan-tindakan balas membalas, bodoh, menjengkelkan yang akhirnya memusnahkan harapan kita semua untuk hidup aman, tenteram, maju dan berjaya.
Kerana apa semua ini? Nafsu serakah....
No comments:
Post a Comment