24 February 2009

Tulisan Jawi Sedang Nazak

Tulisan Jawi adalah satu seni penulisan yang telah wujud berabad-abad lamanya di Nusantara. Kemunculannya berkait secara langsung dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara. Tulisan Jawi berasal dari tulisan Arab dan merupakan huruf-huruf Arab yang dimasukkan ke dalam sistem penulisan bahasa Melayu. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi negara Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang pernah ditemui. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman Kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan juga Aceh pada abad ke-17. Bukti kewujudan tulisan ini di Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702H atau 1303M manakala tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah pada akhir kurun ke-19. Ini menunjukkan tulisan Jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi merupakan tulisan rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu yang kebanyakkannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu.

Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. contohnya digunakan dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihak-pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

Di alam Melayu ini terdapat dua bangsa yang besar iaitu Jawa dan Jawi. Jawi yang dimaksudkan di sini adalah Melayu. Sebab itu jika dikatakan Tulisan Jawi, ianya merujuk kepada Tulisan Melayu. Begitu juga jika disebut 'Tanah Jawi' maka ianya merujuk kepada 'Tanah Melayu'.Istilah lain seperti 'masuk jawi' atau berkhatan itu bermaksud' masuk Melayu' atau 'masuk Islam'. Jelas menunjukkan bahawa Islam dan Melayu itu tidak boleh dipisahkan.

Hari ini terutama generasi muda sangat kurang mengetahui tulisan jawi.Tulisan Jawi tidak lagi digunakan dalam tulisan harian kerana ramai sudah tidak tahu menulis Jawi hatta untuk menulis catatan peribadi atau tulisan-tulisan tidak rasmi. Orang Melayu sendiri yang meminggirkan Jawi yang sepatutnya menjadi kebanggaan dan Jati diri orang Melayu.

Buku Teks Pendidikan Islam juga telah ditukar kepada rumi. Amat malang sekali, jika matapelajaran yang menpunyai kaitan langsung dengan tulisan jawi ini sudah ditukar kepada tulisan rumi. Ini menunjukkan betapa tenatnya tulisan ini dan tidak mustahil sedikit hari lagi tulisan ini mungkin hanya akan dilihat di muzium-muzium.

Orang yang bertanggung jawab memusnahkan tulisan Jawi ini adalah Tan Sri Mohamed Khir Johari (29 Januari 1923 - 19 November 2006) merupakan pemimpin veteran UMNO yang juga anggota Kabinet pertama kerajaan pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Allahyarham menjadi Menteri Muda di Kementerian Pertanian dan Perikanan pada 1955 sebelum memegang jawatan menteri di beberapa kementerian termasuk Menteri Pelajaran
(1957-1959/1965-1968).

Dalam banyak-banyak kementerian yang diterajui oleh beliau, Khir Johari terkenal dan tersohor di bawah Kementerian Pelajaran. Beliau telah melakukan satu reformasi dalam pendidikan negara apabila menghapuskan tulisan jawi sebagai tulisan utama dan tulisan pengantar kepada Bahasa Melayu. Bermula dari itu, semua pelajaran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ditukar tulisannya ke dalam tulisan rumi.

Tidak adakah rakyat dan pemimpin-pemimpin Melayu yang menentang pada masa itu? Tidak adakah pemimpin-pemimpin Melayu yang mencadangkan agar ada subjek-subjek yang patut mengekalkan tulisan Jawi supaya Jawi tidak berkubur pada masa akan datang? Kemungkinan juga pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu buat 'pekak badak' sahaja kerana latarbelakang pendidikan kebanyakan pemimpin-pemimpin Melayu pada masa itu adalah pendidikan Inggeris. Disebabkan itu, mereka memandang Tulisan Jawi tidak ada nilai ekonomi yang tinggi sehingga diganti semuanya dengan tulisan rumi.

Generasi yang mendapat didikan selepas beliau menjadi menteri di Kementerian Pelajaran telah menjadi generasi yang kurang mahir dalam tulisan jawi. Serentak dengan itu juga akhbar utama orang Melayu ketika itu, Utusan Melayu menjadi semakin malap dan tidak popular.

Pada tahun 2005, Utusan Melayu telah terkubur dan pihak kerajaan terpaksa menghidupkannya kembali. Hari ini Utusan Melayu hanya menjadi akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia setiap hari Isnin.

Di Johor, jika tidak kerana adanya sekolah-sekolah agama kerajaan negeri yang menggunakan tulisan Jawi 100%, generasi mudanya mungkin juga akan menjadi buta Jawi. Masih ramai yang boleh membaca dan menulis Jawi dengan baik. Mungkin dari segi amalannya masih kurang kerana telah selesa dengan tulisan rumi.

Buta Jawi boleh mengakibatkan seseorang itu lebih mudah menjadi buta Al-Quran. Jarang ditemui orang-orang yang boleh membaca Al-Quran itu buta Jawi. Lazimnya celik Jawi akan lebih mudah belajar hal-hal agama dan lebih mudah belajar mengaji Al-Quran. Begitu juga orang yang tahu membaca Al-Quran dengan baik akan lebih mudah untuk belajar membaca rawi dalam kitab berzanji.

Apa yang boleh kita pelajari daripada nasib tulisan jawi ini ialah sama ada keputusan kita pada hari ini akan memberi natijah baik atau buruk 30 atau 40 tahun akan datang. Jikalau baik maka baiklah jadinya. Tetapi jika tersalah langkah buruk benar kesannya seperti mana Tulisan Jawi.

Petikan dari Blog Amir Hamzah

No comments:

Cars & Formula 1